HomePendapatPelaburan Modal Insan Kunci Pemerkasaan Rakyat Sabah

Pelaburan Modal Insan Kunci Pemerkasaan Rakyat Sabah

Read Time:3 Minute, 2 Second

Pembangunan modal insan berkelayakan dan berkemahiran tinggi dikenal pasti sebagai kunci utama kepada lonjakan pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, lebih 80 peratus daripada 1.858 juta pekerja di Sabah tidak memiliki pendidikan tinggi atau tertiari. Statistik menunjukkan 11.4 peratus tidak mempunyai pendidikan rasmi, 24.6 peratus berpendidikan rendah, 46.7 peratus menengah, dan hanya 17.3 peratus berkelulusan tinggi atau tertiari.

Tahap PendidikanJumlah Pekerja% Pekerja
Tiada Pendidikan Rasmi211.7 ribu11.4%
Rendah457.6 ribu24.6%
Menengah868 ribu46.7%
Tinggi/ Tertiari321 ribu17.3%
Jumlah1.858 juta100%

Sabah juga merekodkan jumlah dan peratusan tertinggi pekerja tiada pendidikan rasmi di Malaysia, iaitu sebanyak 211,700 orang atau 55.3 peratus daripada jumlah keseluruhan negara sebanyak 382,900 orang.

Sehubungan itu, pembangunan modal insan dijadikan antara teras utama dalam agenda Sabah Maju Jaya bagi memastikan pembangunan yang inklusif, serta memberi peluang kepada rakyat untuk menyertai pembangunan secara produktif dan menikmati pekerjaan yang setimpal dan bermaruah.

Di bawah Belanjawan Sabah 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM497.54 juta untuk pembangunan modal insan – belanjawan terbesar dalam sejarah negeri itu. Langkah ini turut dilihat sebagai usaha mengatasi kitaran kemiskinan berterusan melalui akses pendidikan berkualiti.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk:

  • RM127 juta untuk program biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajar di IPT dalam dan luar negara;
  • RM1,500–RM2,000 seorang Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara sekali bayar (one-off);
  • RM300 seorang sumbangan one-off kepada mahasiswa IPT dalam Sabah di bawah program SENTOSA;
  • RM3,000 setiap sekolah bagi 1,500 buah sekolah untuk kegiatan sekolah.

Dalam Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah berkata, bantuan yang dilancarkan pada Mac 2025 itu menyasarkan untuk membantu kira-kira 20,000 pelajar IPT di Sabah, dengan peruntukan RM6 juta.

Beliau turut memaklumkan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat lebih 170 peratus, daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM136 juta pada 2025, yang akan memberi manfaat kepada 4,170 pelajar.

Selain itu, inisiatif pendidikan lain yang memberi impak besar termasuk:

  • Yayasan Sabah: RM67.17 juta untuk 3,234 pelajar (2024);
  • Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS): RM92.4 juta untuk lebih 48,000 pelajar dalam tempoh lima tahun melalui zakat dan fitrah;
  • Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS): RM15.8 juta untuk 10,104 pelajar sejak Jun 2022.

Dalam tempoh 2021 hingga 2024, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM848.26 juta untuk agenda modal insan yang melibatkan 245,953 penerima. Ia merangkumi TPNS (RM227.1 juta), BKNS (RM324.1 juta), Bantuan Pendidikan Pejabat TSKN (RM164.14 juta), dan Yayasan Sabah (RM132.92 juta).

Dengan jumlah penduduk warganegara seramai 2.654 juta orang (2022), ini bermakna hampir 10 peratus rakyat Sabah telah mendapat manfaat secara langsung daripada pelaburan modal insan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat KTI Landmark dilaporkan memperoleh kontrak bernilai RM130.6 juta daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia di Papar – dijangka melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan.

Pada tahun 2024, sektor pembinaan di Sabah melonjak 18.8 peratus – ketiga tertinggi selepas Johor (42.7%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (21.1%), menurut DOSM.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Sabah perlu keluar daripada sistem lama dan menyesuaikan diri dengan perubahan global, termasuk menerokai sektor ekonomi biru seperti marikultur, perikanan, tenaga laut, pelancongan marin serta penyelidikan dan pembangunan teknologi lautan.

Langkah ini penting bagi mempelbagaikan ekonomi negeri, menjana pertumbuhan mampan serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, memandangkan 40 peratus KDNK Sabah kini disumbang oleh sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Pelaburan besar dalam pembangunan modal insan dilihat sejajar dengan matlamat memperkasa rakyat agar Sabah mampu mengejar kemajuan selaras dengan pembangunan negara dan global.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular