Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: “Kalau kita mahu jadi seperti Sarawak, kita mesti ada pemikiran dan sikap seperti rakyat Sarawak utamakan kestabilan politik dan penerusan dasar,” tegas Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.
Justeru, beliau mengajak semua pemimpin dan rakyat menghayati semula maksud sebenar lagu rasmi negeri Sabah Tanah Airku, bukan sekadar sebagai simbol, tetapi satu ikrar moral kepada negeri tercinta.
“Lagu itu sebenarnya itulah asas atau maklumat atau visi negeri Sabah yang telah dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu dan masih relevan sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan 2025 Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurut Masidi, antara punca utama Sabah lambat mengecapi pembangunan setanding Sarawak ialah ketidaktentuan politik yang berpanjangan.
“Sarawak kini hanya mempunyai enam Premier (Ketua Menteri) sejak merdeka. Tapi Sabah? Kita sudah tukar 16 Ketua Menteri ini petanda jelas politik kita tidak stabil,” katanya.
Beliau menegaskan, kestabilan sangat penting bagi menjamin kelangsungan dasar, menyelesaikan masalah asas seperti kemiskinan dan infrastruktur, serta menarik pelaburan jangka panjang.
Pada masa sama, Masidi turut menyentuh keperluan pemimpin politik untuk mengurangkan keegoan dan mula berfikir secara kolektif demi kesejahteraan negeri.
“Masalah kita terlalu banyak ego. Semua mahu jadi pemenang, tapi tak ramai sanggup turun padang dan kerja betul-betul. Semua mahu jadi pemimpin, tapi tak ramai mahu susah payah,” katanya.
“Sabah tak boleh lagi jadi medan ‘zero-sum game’ menang semua untuk satu pihak, kalah semua untuk pihak lain. Kalau ini berterusan, sampai bila-bila pun kita tak akan bersatu,” tegas beliau.
Ditanya mengenai cadangan menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, Masidi mengesahkan bahawa Kabinet Negeri telah pun bersetuju secara dasar terhadap langkah tersebut
“Kita sudah lama bersetuju dalam Kabinet. Saya sendiri sokong. Sama seperti jawatan Perdana Menteri, dua penggal adalah tempoh yang ideal,” ujarnya.
Namun, beliau mengakui masih belum ada langkah rasmi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana memerlukan sokongan dua pertiga majoriti.
“Sokongan pembangkang penting untuk pinda Perlembagaan Negeri. Tapi nampaknya belum ada perbincangan rasmi,” katanya.
Mengulas lanjut keperluan rakyat Sabah bersatu di bawah satu parti tempatan seperti model Sarawak, Masidi berkata lebih penting ialah pemikiran pemimpin yang berdikari dan tidak mudah dikawal pihak luar.
“Merdeka sepanjang masa bukan sekadar fizikal, tetapi pemikiran kita juga perlu bebas. Harapan saya, pemikiran ini lahir dari acuan anak Sabah, bukan yang disuap oleh orang luar,” katanya.
Masidi turut menyeru agar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), semua komponen parti dalam GRS berfikir bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk menang bersama rakyat.
“Cukuplah remeh-temeh politik. Sudah tiba masa kita semua fikir untuk menang bersama. Bukan untuk diri sendiri, tapi untuk Sabah,” katanya.