HomeUtamaBeliawanis perlu jadi benteng parti, junjung disiplin dan setia kepada pimpinan

Beliawanis perlu jadi benteng parti, junjung disiplin dan setia kepada pimpinan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Seluruh anggota sayap wanita muda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) digesa untuk terus berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan dan disiplin organisasi dalam menghadapi suasana politik negeri yang semakin mencabar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Emmie Datuk Martin Idang berkata, cabaran politik semasa khususnya dalam suasana ketidaktentuan di peringkat nasional menuntut agar Beliawanis tampil bukan sahaja sebagai penyokong, tetapi benteng utama yang mempertahankan kepimpinan dan kestabilan parti.

“Kepimpinan seperti ini tidak lahir setiap hari. Ia terbentuk daripada pengalaman panjang, keikhlasan perjuangan dan keteguhan prinsip.

“Kita tidak boleh membiarkan fitnah dan usaha jahat dari dalam atau luar menggugat kestabilan yang kita bina bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam menyampaikan ucapan pada Persidangan Sayap Beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Emmie turut mengingatkan bahawa tugas Beliawanis bukan sekadar bersuara, tetapi bergerak secara strategik sebagai penyampai dasar kerajaan, pembawa mesej yang benar dan memperkukuh jaringan sokongan akar umbi.

“Beliawanis perlu menjadi perisai kepada kepimpinan, bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga menerusi tindakan yang berkesan dan berdisiplin,” katanya.

Mengulas isu keinginan sebahagian rakyat Sabah yang lantang mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo dalam PRN akan datang, Emmie menasihati agar semua pihak termasuk sayap parti terus menjunjung disiplin organisasi dan menghormati kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam membuat keputusan.

“Kita bukan pembuat keputusan, tetapi penjunjung keputusan. Setiap langkah pimpinan bukan dibuat secara emosi tetapi atas pertimbangan dan kebijaksanaan seorang negarawan,” katanya sambil menzahirkan keyakinan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut menyeru agar seluruh jentera Beliawanis berdiri teguh dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan semangat yang tinggi.

“Tugas kita adalah untuk berdiri teguh, menggalas amanah, dan terus melangkah seiring arahan dengan penuh iltizam dan kepercayaan kepada hikmah pimpinan,” katanya.

Kenyataan tegas Emmie ini dilihat sebagai isyarat kesiapsiagaan jentera Beliawanis Gagasan Rakyat dalam mempertahankan kestabilan politik negeri serta memberi sokongan padu kepada kepimpinan sedia ada menjelang PRN yang bakal tiba. – Chronivo.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular