Kota Kinabalu : Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengambil tindakan undang-undang menerusi saman fitnah terhadap portal berita MalaysiaNow berkaitan dengan dakwaan bahawa SMM telah memberikan lesen mencarigali (Prospecting Licence) kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
SMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, laporan berita yang disiarkan oleh MalaysiaNow mengandungi pelbagai dakwaan yang dak berasas, bersifat fitnah serta direka bentuk untuk mengelirukan pembaca.
Menurut SMM, Tindakan itu jelas menunjukkan bahawa penerbitan tersebut bersifat berat sebelah, tidak adil, serta menimbulkan persepsi bahawa ia merupakan satu usaha yang dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya.
” Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, SMM ingin menegaskan perkara-perkara berikut iaitu, SMM tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Lesen Mencarigali (Prospecting License).
“Selain itu, SMM juga tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen mencarigali. Di bawah Sabah Mining Ordinance 1960, Lesen Mencarigali hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).
“Sehubungan itu, seperti yang telah disahkan oleh Pengarah JTU dalam kenyataan media beliau, yang bertarikh 24 Julai 2025, tidak ada sebarang lesen mencarigali atau apa-apa lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan oleh JTU kepada Bumi Suria Sdn Bhd,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.
Selain itu, SMM telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai entiti pengurusan yang bertanggungjawab dalam menyelia, menyelaras dan melaksanakan Pemeriksaan Usaha Wajar (Due Diligence) teknikal serta kewangan berkaitan permohonan lesen mencarigali di negeri Sabah.
Selain itu, SMM bertanggungjawab melaksanakan pemantauan dan pengawasan segala peraturan dan polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dalam industri perlombongan di Sabah.
“Dalam hal permohonan lesen, peranan SMM adalah terhad kepada mengeluarkan Surat Kebenaran Bersyarat untuk Memohon lesen mencarigali selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan.
“Surat ini tidak bermaksud pemberian atau kelulusan sebarang lesen. Pemohon yang berminat perlu mengemukakan dokumen lengkap dan menjalani proses semakan wajar (due diligence) oleh SMM sebelum agensi kerajaan berkaitan menjalankan semakan lanjut,”‘tambah kenyataan itu lagi.
Berhubung dengan isu kelulusan bersyarat Bumi Suria Sdn Bhd untuk memohon telah dibatalkan, Ahli Lembaga Pengarah SMM telah mempertimbangkan permohonan Bumi Suria Sdn Bhd dan memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen mencarigali bagi kawasan tertentu.
Walau bagaimanapun, syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk disemak dalam tempoh yang ditetapkan.
Sehubungan itu, pada 24 Mac 2025, SMM telah mengeluarkan Surat Pembatalan Kebenaran Memohon Lanjut lesen mencarigali kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
“Surat tersebut menyatakan bahawa tempoh kelulusan untuk membuat permohonan lanjut telah tamat dan syarikat berkenaan dak mengemukakan permohonan rasmi kepada SMM dalam tempoh yang ditetapkan.
“Oleh itu, kelulusan bersyarat untuk membuat permohonan lanjut tersebut terbatal secara serta-merta. Fakta ini telah diketepikan sepenuhnya oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, MalaysiaNow telah menerbitkan rakaman audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Lembaga Sabah Mineral Management (SMM) pada Mei 2024, namun suara dalam rakaman tersebut bukan milik Ketua Pegawai Eksekuf SMM, Natasha Sim.
Walaupun begitu, portal tersebut menggunakan imej dan nama beliau dalam konteks suara audio berkenaan, yang menimbulkan kekeliruan dan tanggapan tidak tepat terhadap penglibatan beliau dalam isu yang dibangkitkan.
Kegagalan MalaysiaNow mengesahkan kesahihan maklumat dengan SMM ataupun Natasha sebelum penerbitan merupakan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanggapan negatif terhadap SMM serta kepimpinannya.
Sehubungan itu, SMM mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang bersifat palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.
“SMM akan teruskan dengan tindakan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan sejurusnya pihak-pihak terlibat,” menurut kenyataan itu.