Kota Kinabalu: Syarikat Sedafiat Sdn Bhd terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan modal insan menerusi penganjuran kursus berteraskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) khusus untuk kakitangannya, semalam.
Bertempat di Bilik Latihan Sedafiat, program latihan yang diadakan secara percuma itu dikendalikan pakar teknologi negara, Ts.Gs.Mahadthir Asbollah.
Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Sedafiat Sdn Bhd, Khamis Abd Rashid Majid berkata, kursus itu dilihat menjadi pemangkin kepada transformasi minda dan cara bekerja kakitangan.
Katanya, ia seiring dengan kemajuan teknologi serta arus digitalisasi yang semakin pesat di seluruh dunia.
“Program seumpama ini amat penting bagi memastikan warga kerja Sedafiat sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap kerja, terutama dalam sektor kesihatan yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
“Kita mahu memastikan kakitangan tidak ketinggalan dalam era Revolusi Industri 4.0, di mana AI berperanan besar dalam meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, penyertaan kursus itu membuktikan komitmen Sedafiat dalam membina tenaga kerja yang berdaya saing. Ia juga memberi peluang kepada warga kerja syarikat berkenaan untuk bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan, demi memperkukuh perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai.
Sementara itu, Mahadthir berkata, kursus berkenaan adalah platform kolaboratif antara industri, akademia dan penyedia teknologi.
Katanya, antara pengisian utama kursus termasuk pendedahan mengenai aplikasi AI dalam pengurusan sumber manusia, operasi kesihatan dan komunikasi korporat.
“Ia juga memberi latihan ‘hands-on’ mengenai penggunaan perisian dan alat pintar yang boleh diaplikasikan dalam tugasan harian.
“Kursus ini membuka ruang jaringan yang lebih luas kepada para peserta, selain membolehkan mereka berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam meneroka potensi AI.
Mahadthir berkata, inisiatif seperti itu penting bagi memperkukuh daya saing organisasi serta meningkatkan kecekapan kerja seiring perkembangan digital masa kini.
Sehubungan itu, Mahadthir turut menyeru badan-badan swasta mahupun jabatan kerajaan yang berminat untuk menyertai kursus AI secara percuma ini untuk mengambil peluang yang ada dalam memperkasakan jabatan masing-masing dengan Teknologi AI yang semakin memesat pada masa kini.
Sementara itu, program berkenaan turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada beberapa rakan strategik termasuk Kolej Eastern, CelcomDigi, redONE dan Maxis.
Penglibatan pelbagai pihak ini menjadikan kursus berkenaan sebagai platform kolaboratif antara pelbagai aspek.