Kota Kinabalu: Projek pembinaan Pusat Islam Sandakan kini mencapai kemajuan 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Disember ini.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Walter Kenson berkata, pihaknya komited untuk menyiapkan kompleks moden yang diilhamkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menjelang hujung tahun ini dan boleh digunakan semasa Solat Hari Raya tahun depan.
“Kami cuba jadualkan untuk siapkan pada hujung tahun ini, sebaik-baik hujung tahun ini supaya ia boleh digunakan sepenuhnya pada hari raya pada tahun hadapan.
“Ini disebabkan kita punya sasaran utama ialah pada Hari Raya 2026, Pusat Islam Sandakan boleh dirasmikan dan boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.

Mengulas lanjut Walter berkata, pusat tersebut akan menggunakan reka bentuk, motif serta kemasan dari Uzbekistan yang disesuaikan dengan motif tempatan Sabah.
“Setakat ini, kemajuan sangat positif dan itulah sebabnya ada beberapa perkara yang kami memohon perkenan daripada Tuan Yang Terutama Tun untuk mendapat kebenaran beberapa jenis motif, reka bentuk dan kemasan.
“Tun memohon untuk diterapkan beberapa elemen dalam bahagian-bahagian tertentu dalam pusat Islam ini.
“Jadi, beberapa ruang utama terutama sekali kawasan solat, ruang dewan utama dan juga ruang menunggu VIP, Tun memohon untuk diterapkan motif dan juga reka bentuk daripada Uzbekistan disesuaikan dengan motif dan reka bentuk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Khamis.
Sementara itu, Tun Musa dalam kenyataan amat berbesar hati menyaksikan kemajuan memberangsangkan dalam pembinaan Pusat Islam Sandakan yang bakal menjadi mercu tanda penting bagi pembangunan syiar Islam di pantai timur Sabah.
Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah dan pendidikan, malah akan menjadi pusat penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama melalui pendekatan dakwah yang inklusif dan harmoni.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan kerajaan negeri atas komitmen terhadap pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat. Semoga Pusat Islam Sandakan menjadi simbol kemajuan rohani dan perpaduan di Sabah,” menurut kenyataan tersebut.
Projek pembinaan Pusat Islam Sandakan telah bermula sejak tahun 2017 lagi dengan kos RM60 juta di tapak seluas 5.2 hektar di Jalan Sungai Kayu, Sandakan namun tertangguh akibat beberapa perkara termasuk pandemik Covid-19 dan pergolakan politik di Sabah.
Apabila siap kelak, bangunan yang dilengkapi pelbagai kemudahan turut menempatkan tadika, pusat tahfiz, pusat pentadbiran JHEAINS, MUIS dan Baitulmal, dewan serbaguna serta dewan solat yang boleh memuatkan sehingga lebih 1,000 jemaah.-