KOTA KINABALU – Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menegaskan bahawa tiada sebarang lesen mencarigali dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).
Pengarah Tanah dan Ukur merangkap Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, berkata jabatan itu memandang serius sebarang kenyataan, promosi atau tindakan yang mengaitkan syarikat tersebut dengan pemilikan lesen mencarigali, kerana ia tidak mempunyai kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa perlombongan negeri.
“Untuk makluman umum, sebarang aktiviti pencarigalian mineral di Sabah hanya boleh dijalankan setelah memperoleh lesen sah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960, serta tertakluk kepada syarat-syarat teknikal dan perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JTU turut mengingatkan orang awam agar berwaspada terhadap maklumat mengelirukan yang disebarkan melalui mana-mana saluran media.