Oleh Normimie Diun
KOTA BELUD: Sepasang suami isteri ditemukan rentung selepas rumah mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Sangkir awal pagi Khamis (24 Julai).
Dalam kejadian kira-kira jam 2.52 pagi itu, rumah jenis kekal satu tingkat terbakar 100 peratus, manakala sebuah kereta jenis Proton Saga yang diletakkan berhampiran turut musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Elge Bakuk berkata, dua mangsa, masing-masing lelaki dan wanita berusia 47 tahun merupakan pasangan suami isteri itu ditemukan rentung di bilik mandi rumah tersebut.
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi dan jentera bomba dari BBP Kota Belud bersama 12 anggota digerakkan ke lokasi sejauh 12.2 kilometer.
“Pasukan tiba pada jam 3.04 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dan sebuah kenderaan yang telah terbakar sepenuhnya. Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba,” katanya ketika dihubungi Chronivo hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 pagi selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan punca kebakaran sedang dijalankan.
Turut membantu dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity yang hadir ke lokasi.