HomeUtamaSabah dipilih negeri pertama laksana Program Duta NADI

Sabah dipilih negeri pertama laksana Program Duta NADI

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sabah dipilih sebagai negeri pertama pelaksanaan Program Duta NADI, satu inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkasakan literasi digital dan memperluas capaian Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ke seluruh negeri ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama adalah bertepatan memandangkan negeri itu pernah menghadapi cabaran serius dalam capaian internet, khususnya semasa pandemik COVID-19.

“Usaha bersungguh-sungguh telah dilakukan kerajaan termasuk pemasangan menara telekomunikasi, pencawang dan titik capaian Wi-Fi di kawasan kampus bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Lebih 1,010 titik capaian (AP) telah dipasang di seluruh negeri dan pelajar kini boleh menikmati kelajuan internet antara 200 hingga 300 Mbps di kawasan masing-masing. Kemudahan ini diharap bukan sahaja meningkatkan kualiti pembelajaran dalam talian, tetapi turut menyumbang kepada keselamatan dan penggunaan internet yang lebih beretika dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam sidang media selepas  Majlis Perasmian Program Duta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Jabatan Digital Universiti Malaysia Sabah hari ini.

Program Duta NADI yang dilancarkan hari ini melibatkan seramai 50 pelajar UMS yang dipilih untuk menjadi duta digital dan akan menjalani latihan intensif selama dua hari.

Menurut Fahmi, mereka akan memainkan peranan aktif dalam menjayakan Kempen Internet Selamat dan projek literasi digital, selain membantu memanfaatkan sepenuhnya 131 Pusat NADI yang terdapat di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Fahmi berkata, penglibatan pelajar dalam program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan pandangan serta harapan berkaitan kualiti internet dan perkhidmatan telekomunikasi di Sabah terus kepada pihak MCMC. Selain itu, inisiatif ini turut menjadi platform membina pengalaman dan kemahiran insaniah yang boleh dimanfaatkan dalam kerjaya mereka kelak.

“Program ini turut menyasarkan pelaksanaan Kempen Internet Selamat di 10,000 buah sekolah seluruh negara. Duta NADI akan turun padang untuk mendidik pelajar tentang keselamatan digital. Mereka berperanan sebagai abang dan kakak digital yang menjadi rujukan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa, pemilihan Duta NADI dibuat oleh pihak MCMC dengan kerjasama universiti, melibatkan pelajar daripada pelbagai jurusan dan latar belakang, termasuk mereka yang baharu menamatkan program asasi dan pelajar tahun akhir. Kepelbagaian ini mencerminkan sifat inklusif dan menyeluruh universiti dalam mempersiapkan mahasiswa sebagai agen perubahan digital.

Dalam pada itu, MCMC turut membangunkan aplikasi MCMC Nexus yang boleh dimuat turun pada peranti Android dan Apple. Aplikasi ini membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan internet dan memantau tahap liputan di sesuatu kawasan.

Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan kini melaksanakan dasar network sharing, iaitu membolehkan syarikat telekomunikasi berkongsi menara dan kemudahan prasarana, khususnya di kawasan luar bandar. Melalui dasar ini, sekiranya hanya satu syarikat mempunyai liputan di sesuatu kawasan, syarikat lain dibenarkan menggunakan prasarana tersebut demi manfaat rakyat.

Katanya, usaha ini selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan capaian digital yang menyeluruh bagi semua rakyat, iaitu: “Di mana ada jalan, di situ ada internet”.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ‘Datuk’ antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular