Kota Kinabalu: Sabah merupakan antara lima negeri teratas di negara ini dari segi penyempurnaan projek dan program pembangunan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan laporan MyProjek, sejumlah 1,271 projek, merangkumi 396 projek sambungan dan 876 projek baharu sedang dilaksanakan di negeri ini pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 1,171 projek atau bernilai RM5.584 bilion adalah projek fizikal, manakala 100 projek lagi bernilai RM355.24 juta adalah projek bukan fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.
Hajiji turut menyeru kepada semua pihak untuk terus mempertingkatkan usaha bagi memastikan Sabah muncul negeri terbaik dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan di Malaysia.
Walaupun pencapaian ini membanggakan, Hajiji menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk leka dan memperlahankan momentum pemantauan terhadap program atau projek kerajaan.

“Sebaliknya, pencapaian ini harus dijadikan sebagai indikator untuk kita bekerja lebih keras dalam menambah baik dan menyelesaikan setiap program dan projek dengan lebih cepat, tepat dan teratur, seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata pelaksanaan program dan projek tidak seharusnya hanya digalas oleh agensi utama semata-mata, sebaliknya semua agensi dan kementerian perlu memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah berusaha memperkukuh tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan.
Katanya, ia dilaksanakan melalui penilaian dan mengambil kira tatacara perolehan dan pelantikan konsesi sebagai satu mekanisme membendung masalah pembangunan di negeri Sabah.
“Di samping itu, setiap agensi dan kementerian perlu lebih kerap memantau penyaluran peruntukan yang telah diberikan bagi memastikan ia dibelanjakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Pembayaran kepada kontraktor dan perunding juga mesti dilakukan dengan cepat, tepat dan teratur agar pelaksanaan projek di negeri ini tidak terganggu atau mengalami kelewatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli MTPNg agar memastikan segala keperluan pembangunan yang mendesak dapat ditangani dengan segera.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk melaksanakan program peningkatan pendapatan dan produktiviti dalam menangani isu miskin dan miskin tegar yang dinamik.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga berusaha membantu golongan sasar agar berjaya keluar daripada kemiskinan.
“Keprihatinan kita juga jelas melalui usaha dan kerja keras yang berterusan dalam memastikan setiap agenda negara mahupun negeri dipatuhi, diperbaiki dan dipertingkatkan,” katanya.
Hajiji berkata penyediaan berterusan keperluan dan kemudahan kepada rakyat melalui penaiktarafan kemudahan awam, kemudahan asas, infrastruktur sosial serta bantuan perkhidmatan sosial telah memberikan manfaat yang berganda kepada golongan miskin di Sabah.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa teras Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dalam pelan pembangunan SMJ juga memfokuskan kepada membangunkan potensi rakyat Sabah melalui pendidikan, latihan, dan kesejahteraan sosial.
“Ini termasuk inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang pendidikan dan memperkasa modal insan secara menyeluruh, di samping mendidik masyarakat agar lebih cakna dan cenderung untuk turut serta, dan kerap membantu atau menyumbang kepada pelaksanaan program-program yang memberi manfaat kepada golongan sasar seperti golongan miskin dan miskin tegar ini,” katanya.