Tawau – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius insiden melibatkan seorang pelancong dari Taiwan yang didakwa dikasari oleh seorang jurulatih selam bebas di Semporna, Sabah pada 23 Julai lalu.
Kejadian tersebut turut dikaitkan dengan sebuah syarikat pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC.
Sebelum itu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 2 minit 47 saat yang memaparkan pergaduhan membabitkan seorang individu berbaju hitam dengan seorang pelancong lelaki berpakaian putih, dipercayai berlaku di kawasan jeti pelancongan di Semporna.
Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC menghargai tindakan pantas pihak polis yang telah menahan suspek terbabit untuk siasatan lanjut.
“Kes ini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan MOTAC akan terus memantau perkembangan siasatan dengan teliti,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman terhadap syarikat pengendali pelancongan yang terlibat sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
MOTAC turut menegaskan bahawa semua pengusaha pelancongan wajib mematuhi undang-undang, menjaga tahap profesionalisme, dan memastikan keselamatan pelancong sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aspek perkhidmatan yang ditawarkan.
“Keselamatan pelancong, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, adalah keutamaan kami dalam usaha mengekalkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu lagi.