Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara keseluruhan berjumlah 48 bulan dan denda RM6,000 bagi tiga pertuduhan menipu berhubung dokumen pengenalan diri termasuk MyKad, melibatkan lebih RM10,000.
Nora Dammang, 53, yang merupakan pemegang MyPR melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada Mei 2025 di Kampung Gudon, Manggatal.
Bagi dua kes pertama, Nora mengaku bersalah dihadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Nora dijatuhi hukuman penjara 14 bulan kerana menipu Ichik dengan memperdayakannya bahawa tertuduh akan menguruskan sijil lahir mangsa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM770.
Bagi pertuduhan kedua, Nora dipenjara 18 bulan kerana menipu Jahara dengan mendorongnya memberikan wang RM2,600 bagi menguruskan MyKad anak beliau di JPN.
Nora juga dikenakan denda RM2, 000, atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuhan.
Manakala, di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, Nora dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM2, 000 atau enam bulan penjara, kerana menipu Jaima untuk menguruskan sijil lahir kewarganegaraan anak-anaknya di JPN. Perbuatan itu telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM8,300.
Nora diperintahkan menjalani kesemua hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meyakinkan mangsa kononnya dia mempunyai kenalan yang boleh membantu menguruskan dokumen MyKad, sijil lahir dan taraf kewarganegaraan.
Tertuduh menjanjikan dokumen-dokumen itu dapat diperoleh segera namun tidak berlaku seperti yang dijanjikan. Tertuduh menyatakan hasrat untuk memulangkan wang kepada mangsa, namun sehingga laporan polis dibuat, tiada bayaran diterima. Tertuduh turut memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada memulangkan wang tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh dan Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.