Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Beberapa inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disambut baik dalam kalangan rakyat di daerah ini.
Antara langkah yang disambut baik termasuk bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas, penurunan harga minyak RON95, pengurangan bil elektrik, serta tambahan cuti umum sempena Hari Malaysia pada 15 September.
Menurut Fitrayanti Basri Eko, 30, dari Kampung Dusun Jalan Utara, walaupun jumlah RM100 tidak besar, ia tetap membantu rakyat, khususnya golongan B40.
“Bantuan ini sangat baik sebab diberikan kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas, bukan lagi hanya kepada ketua isi rumah. Walaupun nilainya tidak seperti yang diharapkan, ia tetap boleh digunakan untuk membeli barangan asas,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa rakyat sebenarnya menjangkakan bantuan yang lebih besar, seperti pengeluaran KWSP one-off atau pemansuhan bayaran balik PTPTN.
“Saya lebih fokus kepada isu KWSP dan PTPTN, itu yang saya harapkan. Tapi kita tetap bersyukur kerana masih ada inisiatif seperti SARA ini yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya kepada Chronivo.
Setiausaha Jawatankuasa Rakan Lestari Tawau, Khairul Anuar Junus, 33, turut menyambut baik pemberian SARA ini.
“Bagi saya, RM100 untuk seorang suami dan RM100 untuk isteri sudah jadi RM200. Itu cukup untuk beli keperluan penting seperti susu dan lampin bayi. Ia mungkin tidak banyak, tapi sangat berguna,” ujarnya.
Khairul Anuar turut mengalu-alukan penurunan harga minyak RON95 sebanyak enam sen seliter dan menganggapnya sebagai langkah positif yang boleh meningkatkan kuasa beli rakyat.
Sementara itu, Sukardi Mashuri, 48, dari Kampung Muhibbah Raya, pula berharap kerajaan turut mempertimbangkan penurunan harga minyak diesel, memandangkan kebanyakan penduduk di Sabah menggunakan kenderaan diesel.
“Kalau boleh, harga diesel pun diturunkan. Tapi saya tetap rasa penurunan RON95 ini bermanfaat untuk pelajar dan anak-anak muda yang guna motosikal,” katanya.
Beliau juga berharap agar peniaga menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak, dan jumlah bantuan SARA ditingkatkan pada masa hadapan.
Norhaini Philip, 30, dari Kampung Batu Dua Jalan Apas pula menyambut baik pengumuman tambahan cuti sempena Hari Malaysia pada 15 September.
“Ramai pekerja yang perlukan cuti panjang untuk bersama keluarga. Dengan cuti tiga hari, lebih ramai dapat pulang ke kampung dan merayakan Hari Malaysia bersama orang tersayang,” ujarnya.
Norhaini juga menyifatkan bantuan RM100 itu amat membantu golongan muda, terutama pelajar yang perlukan wang untuk pembelian buku dan keperluan pendidikan lain.