Kota Kinabalu : Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan kempen kibar bendera 2025 yang dilancarkan pada 1 Ogos nanti merupakan simbolik ‘kick off’ program sebelum menuju acara kemuncak pada 31 Ogos depan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, majlis yang dijadual akan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu akan berlangsung di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu di sini.
Katanya, pelancaran program itu akan menjadi titik permulaan kepada pelbagai pengisian sepanjang bulan kemerdekaan, dengan objektif utama membangkitkan semangat perpaduan nasional dan menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat, khususnya di Sabah.

Menurutnya lagi, program itu bukan sekadar acara tahunan tetapi satu usaha untuk memupuk kesedaran sejarah serta meningkatkan penghargaan terhadap keamanan dan keharmonian yang dikecapi bersama.
“Pada majlis itu, Ketua Menteri juga akan melepaskan peserta-peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan disertai 60 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan melibatkan lebih kurang 20 kenderaan.
“Selain itu, Ketua Menteri juga akan mengagihkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah kepada jabatan-jabatan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya kepada media selepas rancangan temubual di SabahVFM serta SabahFM di sini pada Selasa.
Sabin berkata, terdapat beberapa program lain turut akan menghiasi sepanjang bulan kebangsaan dengan penglibatan beberapa jabatan-jabatan kerajaan persekutuan dan negeri.
“Terdapat lima program utama akan diadakan antaranya Info On Wheel (IOW) yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah bagi menyampaikan informasi-informasi yang menarik selain bacaan doa selamat anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah,” katanyam
Mengulas lanjut berkenaan sambutan Hari Kebangsaan, Sabin memaklumkan, pada tahun ini jumlah kontinjen akan dihadkan bagi mengelakkan perarakan mengambil masa yang panjang.
“Pada tahun lepas didapati terdapat beberapa kontinjen yang mewakili aktiviti atau kumpulan yang hampir sama menyebabkan terdapat beberapa rungutan dari orang ramai yang kurang gemar dengan situasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh mengikuti sosial media JAPEN Sabah untuk mendapatkan sebarang perkembangan program-program yang akan berlangsung sepanjang tempoh sambutan ini berlangsung.-