Putrajaya : Kerajaan mengumumkan 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hari kelepasan itu adalah bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.
“Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan untuk rakyat Malaysia di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah Madani 2025.
“Jualan Rahmah MADANI 2025 telah disediakan RM300 juta. Bagi memperbanyak capaian program, peruntukan tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta.
“Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 dewan undangan negeri, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat,” katanya. – Chronivo