Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah menyambut baik pengumuman beberapa inisiatif yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, termasuk pemberian saguhati RM100 secara one-off kepada setiap individu berumur 18 tahun ke atas, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, cuti umum tambahan pada 15 September, penambahan bajet Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sebanyak RM600 juta serta pengurangan bayaran bil elektrik.
Azdy Zukkry John dari Ranau menyifatkan pengumuman itu sebagai menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Menurutnya, bantuan RM100 amat bermakna kerana ia boleh membantu merancakkan sektor ekonomi domestik, terutamanya dalam kalangan isi rumah yang ramai tanggungan.
“Penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 per liter akan mampu meringankan beban rakyat. Walaupun di atas kertas hanya enam sen, impaknya tetap besar kerana majoriti rakyat memiliki sekurang-kurangnya sebuah kenderaan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman cuti tambahan sempena Hari Malaysia sebagai satu bentuk penghargaan kepada rakyat.
“Sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu menyelami kepentingan menjaga negara ini. Hubungan sosial antara semua bangsa dan etnik harus dijaga dengan baik, dan elakkan isu yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara,” katanya.
Mengenai PJRM, Azdy menyifatkan penambahan bajet sebanyak RM600 juta sebagai langkah tepat ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
“Berdasarkan pengalaman saya, PJRM sangat membantu golongan B40. Subsidi yang disalurkan membolehkan pengurangan harga antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran,” jelasnya.
Katanya lagi, pengurangan bayaran bil elektrik juga memberi manfaat besar kepada semua golongan rakyat di bandar dan luar bandar.
Feranandez Fidelis dari Papar turut menyambut baik inisiatif kerajaan dan menyifatkan pemberian RM100 melalui MyKad sebagai satu bentuk penghargaan yang rahmah.
“Ia meringankan sedikit beban isi rumah yang mempunyai ahli keluarga ramai. Ini satu langkah yang sangat baik,” katanya.
Beliau juga menyambut baik penambahan bajet PJRM dan berharap menawarkan lebih banyak barangan berbanding sebelum ini.
Feranandez juga berharao pengurangan bil elektrik akan dikekalkan kerana penjanaan tenaga elektrik di Malaysia tidak melibatkan import.
Mengulas penurunan harga RON95, beliau berkata walaupun tidak jauh beza, penurunan itu amat bermakna baginya yang menggunakan kenderaan setiap hari.
“Saya berulang-alik sejauh 45.4 kilometer dari kampung ke tempat kerja, (Kampung Mandalipau Papar ke Penampang) dan penggunaan petrol saya mencecah RM60 seminggu. Penurunan ini sangat membantu,” katanya.
Tambahnya lagi, cuti tambahan pada 15 September setiap tahun wajar diteruskan sebagai kelepasan am tahunan untuk rakyat.
Sementara itu, Patrick J Antang dari Tamparuli berkata secara keseluruhan, pengumuman PMX menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah dan rungutan rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Harga barangan sekarang saya rasa mahal. Dengan penurunan harga minyak petrol kepada RM1.99, saya berharap harga barang juga diturunkan agar beban rakyat Sabah dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau menegaskan, pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini perlu dipastikan berkesan supaya benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.