Putrajaya : Pemberian bantuan tunai RM100 secara one-off kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas akan disalurkan menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan yang akan disalurkan secara automatik melalui MyKad bermula 31 Ogos ini bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat dan menyemarakkan semangat kebersamaan pada detik bersejarah negara
“Sukacita diumumkan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program SARA.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama dan kedai runcit di semua daerah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan untuk rakyat Malaysia di sini pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan ini akan diberikan secara individu dan bukannya isi rumah.
“Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400. Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanyam
Katanya, Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan. – Chronivo