HomeUtama42 syarikat produksi Sabah, Sarawak terima dana lebih RM7.43 juta

42 syarikat produksi Sabah, Sarawak terima dana lebih RM7.43 juta

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sebanyak 42 permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada syarikat produksi di Sabah dan Sarawak telah diluluskan sejak 2022 hingga Julai 2025, meliputi kategori filem cereka, filem pendek, dokumentari, pemasaran, skrip dan pascaproduksi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tempoh itu, lebih RM7.43 juta telah disalurkan dengan lebih 1,245 peluang pekerjaan diwujudkan secara langsung di kedua-dua negeri.

“Terbaharu, enam syarikat produksi dari Sabah menerima surat tawaran Dana Program TV (Borneo) berjumlah RM1.15 juta bagi penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa etnik tempatan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif di sebuah hotel di sini, pada malam Selasa.

Majlis itu turut disaksikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan Dana Pascaproduksi kepada sebuah syarikat produksi Sabah dengan nilai hampir RM240,000 bagi memperkasakan aspek teknikal pascapenggambaran seperti kesan visual (visual effects), penjajaran warna (color grading) dan Dolby Atmos.

Fahmi menambah, program berkenaan bertujuan meningkatkan kandungan siaran tempatan serta memacu kerjasama strategik antara penggiat industri dengan stesen penyiar seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media swasta.

“Penyerahan dana berkenaan merupakan simbolik komitmen Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam menyokong pembangunan industri kandungan kreatif tempatan, khususnya di Borneo.

“Penyerahan Surat Setuju Terima ini membuktikan iltizam Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dalam mendukung penggiat seni di seluruh pelosok tanah air sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif serantau,” katanya.

Tambahnya lagi, pada tahun ini sahaja, sebanyak 67 permohonan telah diterima di bawah Dana Program TV (Borneo), dengan enam syarikat dari Sabah terpilih menerima pembiayaan.

Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi melalui FINAS telah bersetuju untuk melaksanakan kerjasama dengan BORNEO TV menerusi Dana Program TV (Borneo).

“Dana tersebut sebelum ini dilaksanakan bersama RTM. Kini, kandungan yang dihasilkan oleh penerima Dana Program TV (Borneo) akan turut disiarkan di platform BORNEO TV,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; dan Ketua Pegawai Eksekutif BORNEO TV, Datuk Izelan Basar.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular