KOTA KINABALU – Sabah kini berada di ambang krisis tenaga yang serius dan memerlukan pendekatan strategik yang berani serta pelaburan besar untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. James Alin berkata, ketika ini Sabah belum mencapai tahap keselamatan tenaga, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti.
“Bekalan tenaga sedia ada yang disalurkan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak mencukupi, sementara permintaan sebenar tidak diketahui dengan tepat tetapi jelas jauh lebih tinggi. Situasi ini dapat dilihat melalui gangguan elektrik berterusan, pemotongan bekalan bergilir dan bekalan yang terputus khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya ketika ditemui Chronivo baru-baru ini.
Menurut beliau, bagi mencapai keselamatan tenaga, Sabah memerlukan pelaburan domestik atau asing yang signifikan, termasuk meneroka potensi import tenaga daripada jiran seperti Brunei dan Sarawak yang memiliki lebihan bekalan.
Cabaran Peralihan ke Ekonomi Rendah Karbon
Mengulas mengenai usaha peralihan kepada ekonomi rendah karbon, Dr. James menjelaskan bahawa walaupun Sabah tidak memiliki loji arang batu dan menggunakan bahan api yang relatif bersih, hakikatnya ekonomi negeri ini masih bergantung kuat kepada sektor berintensiti karbon tinggi seperti minyak, gas, perlombongan silika, dan emas.
Beliau menambah, sektor perlombongan bukan sahaja penyumbang utama kepada pelepasan karbon di Sabah, tetapi juga menghasilkan gas rumah hijau lain seperti sulfur dioksida, metana, dan nitrogen oksida.
“Jika kita lihat sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, sekitar 70 peratus datang daripada sektor perlombongan, tenaga, sisa, pertanian, serta guna tanah dan perhutanan. Sektor pelancongan dan hospitaliti pula menyumbang kira-kira 30 peratus,” jelasnya.
Tenaga Boleh Diperbaharui: Pengguna, Bukan Pengeluar
Dalam soal tenaga boleh diperbaharui, Dr. James menyatakan Sabah memiliki pengalaman luas dalam tenaga solar dan hidro, namun masih terhad sebagai pengguna teknologi, bukan pengeluar utama.
“Contohnya, operasi Kibing Glass di Sabah hanya memproses silika untuk dieksport kepada pengeluar teknologi tinggi di China. Situasi ini serupa dengan sektor minyak mentah, gas, minyak sawit mentah (CPO), minyak isirung sawit (PKO), dan getah asli, di mana Sabah hanya menjadi pembekal bahan mentah,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa walaupun industri seperti sarung tangan getah mesra alam dan memberi manfaat kepada ramai penoreh getah miskin, kilang-kilang besar seperti Top Glove masih belum melabur di Sabah walaupun negeri ini menghasilkan getah berkualiti tinggi.
Bagi sektor hidro, Dr. James berkata potensi besar yang ada masih terbantut akibat faktor sosial dan politik, seperti cadangan pembinaan Empangan Koiduan yang tergendala susulan bantahan masyarakat.
“Berbanding Sarawak dan Kalimantan yang sudah maju memanfaatkan sungai-sungai mereka, Sabah tidak mempunyai banyak sungai besar yang berpotensi tetapi belum digunakan sepenuhnya untuk penjanaan tenaga bersih,” jelasnya.
Perlu Dasar Tenaga dan Pelaburan Jelas
Dr. James turut menggesa kerajaan negeri supaya segera merangka dasar tenaga yang jelas dan strategik, membuka ruang kepada pelaburan domestik dan asing, serta memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan kelestarian alam sekitar.
“Tanpa langkah berani, Sabah akan terus kekal sebagai pengguna bahan mentah, ketinggalan dalam rantaian nilai global, dan bergelut dengan masalah bekalan elektrik yang tidak berkesudahan,” tegas beliau.