HomeUtamaPIBG SMK Membakut II sokong siasatan kes kematian pelajar

PIBG SMK Membakut II sokong siasatan kes kematian pelajar

Read Time:1 Minute, 56 Second

Membakut : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut II menzahirkan rasa dukacita kepada keluarga seorang pelajar yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Papar baru-baru ini.

Yang Dipertua PIBG SMK Membakut II Awang Hazim Awang Basir berkata, pihaknya turut menyatakan rasa simpati yang tidak terhingga kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang masih di usia muda dan bersemangat menimba ilmu.

“Kami amat bersedih dan terkesan dengan kejadian yang berlaku. Kehilangan seorang pelajar muda yang masih di awal perjalanan pendidikannya.

“Kejadian ini bukan sahaja menyayat hati, malah memberi kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan negeri Sabah khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya dalam kenyaan di sini pada Selasa.

Awang Hazim berkata, pihaknya turut menyambut baik ketegasan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan menyeluruh, adil dan bebas terhadap insiden yang berlaku.

Katanya, pihaknya percaya bahawa hanya melalui penyiasatan rapi dan terbuka, kebenaran akan dapat ditegakkan dan keadilan untuk Allahyarhamah dapat direalisasikan.

“PIBG SMK Membakut II menegaskan bahawa tiada ruang untuk budaya buli dalam sistem pendidikan negara ini, sama ada di sekolah harian, sekolah asrama mahupun sekolah agama.

“Setiap pelajar berhak untuk belajar dalam persekitaran yang selamat, sejahtera dan bebas daripada sebarang ancaman fizikal, emosi mahupun psikologi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar pihak sekolah lebih proaktif mengesan dan membendung sebarang tingkah laku yang menjurus kepada buli.

Selain itu katanya, ibu bapa juga  sentiasa berhubung rapat dengan anak-anak dan pihak sekolah.

“Semua pihak khususnya guru, pelajar, dan masyarakat dapat memainkan peranan dalam mewujudkan budaya prihatin, empati dan saling menghormati.

“Sebagai rakan strategik sekolah, PIBG SMK Membakut II turut akan mengkaji semula pendekatan pencegahan buli yang sedia ada di sekolah  dan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak pentadbir sekolah serta agensi luar dalam hal berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pelajar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama sekolah menengah di Papar, awal pagi Rabu.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari Khamis ketika dirawat di hospital HQE l.

Kes kematian pelajar tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial termasuk daripada bekas pelajar dan ibu bapa yang menuntut agar siasatan dilakukan secara menyeluruh serta tindakan tegas diambil sekiranya terdapat kecuaian atau salah laku yang menjejaskan keselamatan pelajar.

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular