Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Ramai pelakon muda di Sabah memiliki bakat besar, namun masih kurang pendedahan dan asas dalam bidang lakonan.
Situasi ini cuba ditangani melalui penganjuran Bengkel Lakonan Skrin (Level-Up): Kreativiti & Profesionalisme yang berlangsung baru-baru ini.
Program selama dua hari anjuran Arcadia Gate Sdn Bhd dengan kerjasama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) itu diadakan pada 19 dan 20 Julai lalu di Bangunan SCENIC, dekat sini.
“Saya dapati ramai pelakon Sabah yang berbakat, cuma kurang ilmu dan asas lakonan. Dari bengkel ini, saya berharap dapat lahirkan pelakon yang berkualiti dan berdaya saing secara profesional,” kata tenaga pengajar profesional, Dato Jeff Omar, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri.
Seramai 22 peserta dari seluruh Sabah termasuk dari seperti Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu, Kota Belud dan kawasan sekitar Kota Kinabalu terpilih menyertai bengkel intensif tersebut.
Bengkel ini memberi fokus kepada dua pendekatan lakonan kontemporari iaitu ‘Natural Acting’ dan ‘Depth Acting’, yang menekankan kejujuran ekspresi, spontaniti, dan penghayatan emosi secara mendalam.
Selain aspek teknikal, program ini turut berperanan sebagai ruang selamat untuk peserta bereksperimen, berkongsi dan membina keyakinan diri dalam seni persembahan.
Menurut Jeff, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang Arcadia Gate dalam menyemai bakat dan membina ekosistem industri kreatif yang mampan di Sabah.
Sebelum ini, Arcadia Gate baru sahaja selesai dengan tayangan perdana bertajuk “Aku Ayah Muzik”, sebuah karya yang menyentuh emosi dan mengangkat tema kekeluargaan serta muzik. Tayangan tersebut mendapat respon positif daripada penonton tempatan dan mencerminkan halatuju produksi Arcadia Gate yang dekat dengan jiwa masyarakat.
“Kami percaya bahawa setiap bakat kreatif anak muda Sabah berpotensi untuk menyinar, asalkan diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya.
“Bengkel ini merupakan salah satu usaha kami dalam menyemai profesionalisme dalam kalangan pelakon baru serta membentuk komuniti seni yang lebih matang dan berdaya saing,” kata Jeff.
Program ini diakhiri dengan sesi penilaian dan perkongsian pengalaman, di mana para peserta menyuarakan rasa syukur, semangat baharu dan tekad untuk terus mengembangkan potensi diri dalam bidang lakonan.
Arcadia Gate berharap bengkel seumpama ini dapat diteruskan bukan hanya di Kota Kinabalu, tetapi diperluaskan ke seluruh pelusuk Sabah, demi memastikan bakat tempatan mendapat sokongan yang diperlukan.
“Sokongan terhadap bakat seni tempatan harus terus diperkasakan, agar industri filem dan TV negeri ini mampu melahirkan lebih ramai pelakon yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.”
Dalam pada itu, Arcadia Gate turut merakamkan penghargaan kepada SCENIC atas kerjasama erat dan komitmen berterusan membangunkan ekosistem kreatif di Sabah.