Kota Kinabalu : Seramai 26 peserta terdiri daripada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) telah menyertai program ‘Youth Leadership Team Building Camp’ (YLTBC 2025) yang berlangsung selama tiga hari berakhir Ahad lalu.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKK itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS), Kelab Anak Muda Inanam Skuad, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Skuad Kota Kinabalu dan Sekretariat Pengakap Kelana Daerah Inanam.
PKK dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu dirangka dengan pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan dan kemahiran hidup.

Selain itu, program itu juga bertujuan untuk membentuk peserta sebagai individu holistik yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkebolehan, berkemahiran, dan memiliki nilai serta ciri kepimpinan yang seimbang selari dengan aspirasi melahirkan pemimpin muda berdaya saing dan berwawasan.
Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKK, Muhammaddin Mohd Jair berkata, program seperti ini sangat penting dalam melahirkan pemimpin muda yang bakal menjadi pelapis dan penggerak dalam kepimpinan.
Selain itu katanya, program itu juga memberi persediaan para peserta yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya dan bakal ke alam pekerjaan.
Sementara itu. presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, MBS akan sentiasa komited dalam membentuk dan menyokong belia di Sabah ini melalui program kepimpinan yang berupaya meningkatkan daya kepimpinan, keyakinan serta menyerlahkan bakat peserta.
Tambah Abqaree, belia di Sabah ini berpotensi untuk diketengahkan ke platform yang lebih tinggi.
“Bagi pihak MBS, kita merakamkan penghargaan terima kasih kepada PKK kerana sudi bekerjasama dalam memastikan objektif MBS dapat dicapai dan disampaikan terus kepada belia di Sabah khususnya,” katanya. – Chronivo / FOTO PKK