Oleh Normimie Diun
SIPITANG: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menegaskan bahawa tiada ruang untuk menyembunyikan sebarang kejadian yang melibatkan keselamatan pelajar, khususnya dalam insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Papar, baru-baru ini.
Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan berkata, siasatan berhubung insiden yang menimbulkan kegusaran masyarakat itu mesti dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh.
“Kita tidak wajar menyembunyikan apa-apa yang berlaku di sekolah berkenaan, khususnya berhubung dengan kebajikan dan keselamatan anak-anak pelajar,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Kampung Kalamauh Mesapol, dekat sini.
Menurut beliau, kunjungan itu turut disertai beberapa pimpinan tempatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan pegawai kerajaan bagi menyampaikan sumbangan serta kata-kata semangat kepada ibu mangsa, Ustazah Noraidah Lamat, 45.
“Kami sempat bersama-sama mendoakan kesejahteraan keluarga dan memberikan sedikit sumbangan,” katanya.
Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa beliau sebelum ini telah bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohamad Azam Ahmad, menziarahi pelajar tersebut ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE l), Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dapat disempurnakan.
“Kita akan bantu sehabis baik. Saya dimaklumkan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh, dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkannya,” ujarnya.
Mengulas dakwaan wujud unsur buli di sekolah berkenaan seperti yang tular di media sosial, beliau berkata perkara itu berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Itu dalam siasatan polis. Kita serahkan kepada pihak berwajib dan tunggu hasil rasmi,” katanya.
Mengenai keperluan keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah tersebut, Mohd Arifin menjelaskan bahawa kebanyakan sekolah berasrama penuh lazimnya mempunyai sistem itu, namun beliau akan membuat semakan secara langsung.
“Saya juga bercadang untuk turun sendiri melawat sekolah berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama sekolah menengah di Papar, awal pagi Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari Khamis ketika dirawat di hospital HQE l.
Kes kematian pelajar tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial termasuk daripada bekas pelajar dan ibu bapa yang menuntut agar siasatan dilakukan secara menyeluruh serta tindakan tegas diambil sekiranya terdapat kecuaian atau salah laku yang menjejaskan keselamatan pelajar.