HomeUtamaSiasatan Dalaman Sahkan Tiada Salah Laku berhubung Gambar Tular - SMM

Siasatan Dalaman Sahkan Tiada Salah Laku berhubung Gambar Tular – SMM

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu – Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) hari ini menafikan dakwaan fitnah berhubung gambar tular melibatkan jet peribadi, sambil menegaskan bahawa siasatan dalaman dan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa telah mengesahkan tiada sebarang salah laku, salah guna kuasa atau kepentingan peribadi berkaitan lawatan kerja rasmi tersebut.

Dalam kenyataan medianya, SMM berkata dakwaan tidak berasas yang mengaitkan Ketua Pegawai Eksekutif, Natasha Sim, dan Setiausaha Syarikat, Emily Chong, dengan gambar mereka di sisi jet peribadi semasa lawatan kerja rasmi adalah palsu.

Menurut syarikat itu, gambar berkenaan dirakam ketika urusan berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) bersama sebuah syarikat perlombongan terkemuka di Indonesia. Lawatan kerja pertama ke Indonesia pada Mac 2023 diatur mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Jonith Enggihon, sebagai sebahagian daripada proses semakan wajar (due diligence) terhadap potensi kerjasama.

Pada Disember 2023, Jonith mengemukakan syor kerjasama kepada Lembaga Pengarah SMM, dengan merujuk kepada rekod cemerlang syarikat Indonesia itu dalam industri perlombongan. Setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada Februari 2024, Natasha Sim — ketika itu Ketua Pegawai Strategi — dilantik mengetuai perbincangan berkaitan FDI.

Lawatan susulan pada Ogos 2024, yang menjadi latar gambar tular tersebut, adalah sebahagian daripada usaha memuktamadkan rundingan pelaburan.

SMM memaklumkan bahawa pada Disember 2024, Natasha dan Emily secara proaktif memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk menyerahkan kenyataan lengkap dan dokumen sokongan berkaitan isu yang dibangkitkan.

Siasatan dalaman bebas yang selesai pada Februari 2025 turut mendapati tiada unsur salah laku, konflik kepentingan atau keuntungan peribadi.

SMM menyifatkan tuduhan yang dibangkitkan menerusi laporan media dan kenyataan awam baru-baru ini sebagai palsu, mengelirukan, dan berunsur fitnah. Syarikat turut menegaskan bahawa ia bukan badan pelesenan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif tidak mempunyai kuasa undang-undang atau pentadbiran untuk meluluskan sebarang lesen.

Menurut SMM, isu ini mungkin berkait dengan tindakan undang-undang yang sedang diambil syarikat terhadap Jonith dan ahli perniagaan, Albert Tei. Tuduhan semasa dilihat sebagai percubaan untuk mengitar semula isu yang sedang melalui proses mahkamah demi mencemarkan nama baik syarikat.

Sehubungan itu, SMM menyeru semua pihak termasuk media, ahli politik dan orang awam supaya memeriksa kesahihan fakta sebelum menyebarkan dakwaan tidak berasas. Syarikat juga memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk organisasi media, tokoh awam atau individu atas kesalahan memfitnah dan menyebarkan maklumat palsu dengan niat jahat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular