HomeUtamaMBS gesa ibu bapa pantau tingkah laku anak, elak gejala buli

MBS gesa ibu bapa pantau tingkah laku anak, elak gejala buli

Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Majlis Belia Sabah (MBS) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk perbuatan buli melibatkan golongan muda khususnya di institusi pendidikan.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, budaya buli sama sekali tidak mencerminkam keperibadian dan budi pekerti masyarakat negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah amat dikenali dengan kelembutan, sopan santun serta saling hormat-menghormati.

“Hakikatnya, perbuatan buli ini sangat tidak baik dan langsung tidak mencerminkan budaya kita di Sabah. Ia hanya merosakkan pembangunan sahsiah dan masa depan belia.

“Buli ini lahir daripada jiwa yang kacau dan tidak tenang. Ia bukan hanya berlaku kerana kurangnya pemantauan sekolah, tetapi berpunca daripada persekitaran keluarga itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas merasmikan penutupan The Trading Card Game (TCG) Event di sini pada Ahad.

Abqaree berkata, gejala buli sama ada secara fizikal, emosi mahupun buli siber, ianya hanya akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan dan menyuburkan generasi yang tidak berakhlak.

Justeru, MBS menyeru agar ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik dan memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dalam perlakuan negatif. 

Beliau menekankan bahawa pendidikan dan kasih sayang yang mencukupi di rumah adalah kunci utama membentuk jiwa yang sihat dan berakhlak.

“Kita perlu semai nilai kasih sayang, hormat-menghormati sejak dari rumah. Jika di sekolah ada masalah, ada guru kaunseling. 

“Di luar, ada saluran seperti pihak berkuasa dan guaman. Buli bukan jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, MBS turut menggesa agar semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, dan masyarakat berganding bahu untuk memerangi gejala buli demi menjamin masa depan belia yang lebih cemerlang, berakhlak dan berdaya saing. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Bomba komuniti Kampung Titingan terima sumbangan PPE kalis api

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular