HomeUtamaIbu pelajar asrama maut tuntut siasatan telus

Ibu pelajar asrama maut tuntut siasatan telus

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Normimie Diun

SIPITANG: “Saya mahu kes ini disiasat dengan telus, adil dan saksama, dan tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak betul.”

Itu luahan penuh emosi Ustazah Noraidah Lamat, 45, ibu kepada pelajar tingkatan satu yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Papar sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth l pada Khamis lalu.

Noraidah menegaskan bahawa siasatan terhadap insiden yang menimpa anaknya, Zara Qairina Mahathir, 13, perlu dijalankan secara profesional tanpa menyembunyikan sebarang kebenaran.

“Saya sudah dua kali ke balai polis untuk beri kerjasama. Tapi saya tak boleh ulas lebih, sebab masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Kampung Kalamauh, Mesapol dekat sini, hari ini.

Menurutnya, anak tunggalnya itu pulang ke rumah di Sipitang pada hari Sabtu sebelum kembali ke asrama keesokan harinya namun tingkah laku Zara pada hari tersebut dilihat agak luar biasa.

“Hari Ahad itu sebelum dia balik ke asrama, dia masak roti telur. Itu makanan terakhir yang dia sediakan untuk kami sekeluarga di rumah.

“Biasanya dia balik awal. Tapi hari tu dia kata, ‘Mama, nanti Zara balik lambat hari Ahad.’ Saya hairan, sebab untuk kembali ke asmara paling lewat pun pukul 3.30 petang,” katanya sambil menahan sebak.

Meskipun tiada aduan khusus daripada anaknya, Noraidah mengakui mereka pernah berbicara tentang suasana pergaulan di sekolah yang mungkin memerlukan perhatian pihak berwajib, namun enggan mengulas lanjut.

Noraidah turut berkongsi bahawa keputusan Zara untuk tinggal di asrama adalah atas kehendak sendiri dan mengidolakan ibunya sendiri (Noraidah) yang pernah tinggal di asrama suatu ketika dahulu serta mahu berdikari seperti rakan-rakannya.

“Dia mengidolakan saya dan membayangkan seronoknya tinggal di asrama. Dia selalu cakap mahu jadi badar (ahli badan dakwah dan rohani).

“Zara mula tinggal di asrama sejak 18 Februari lalu dan mula-mula sesi persekolahan memang saya sentiasa teringatkan anak saya. Di hati saya ini tidak tenteram.

“Saya memang rindu, tapi saya tahu itu keinginan dia. Dia nak cuba berdikari, dan ikut jejak kawan-kawan yang juga duduk asrama,” kongsinya.

Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah apabila Zara kerap meminta kek batik makanan kegemarannya untuk dikongsi bersama rakan-rakannya.

“Dalam masa sebulan tu, dia banyak kali minta saya buat kek batik. Saya buat banyak, satu untuk dia, satu untuk kawan-kawan dia,” kata Noraidah sambil beberapa kali kelihatan mengesat air mata.

Namun kata Noraidah, walaupun pemergian itu terlalu berat untuk ditanggung, beliau redha dan percaya anaknya pergi dalam keadaan yang ikhlas sedang mengejar impian dan cita-cita.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular