HomeUtamaBekas pemain ragbi Sabah dipenjara 12 tahun sebabkan kematian adik perempuan

Bekas pemain ragbi Sabah dipenjara 12 tahun sebabkan kematian adik perempuan

Read Time:5 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang bekas pemain ragbi Sabah dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menyebabkan kematian adik perempuannya.

Arden Mattson Maturin, 28, yang pada asalnya didakwa atas tuduhan membunuh dan sepatutnya dibicarakan hari ini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol atas pertuduhan pilihan.

Pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ditawarkan oleh pihak pendakwaan selepas surat representasi pembelaan diterima.

Tertuduh mengaku menyebabkan kematian Audrey Maturin, 25, dengan niat mendatangkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian, pada 4 Mei 2023, antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang, di Taman Prestij, Jalan Signal Hill.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan.

Tertuduh yang berbaju putih dan berambut pendek, kelihatan jauh lebih kurus berbanding kali pertama hadir ke mahkamah. Dia tenang semasa keputusan dibacakan dan sempat memandang ke arah keluarganya di galeri awam.

Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menyatakan bahawa dalam menentukan hukuman yang sesuai, mahkamah perlu mengambil kira bukan sahaja keseriusan kesalahan yang dilakukan, tetapi juga keadaan sekeliling serta latar belakang peribadi pesalah.

Insiden tersebut, walaupun tragik, berlaku secara spontan dalam keadaan marah, bukan disebabkan sifat tidak sabar.

Mahkamah turut menyatakan bahawa tertuduh masih muda dan sebelum kejadian ini, telah menunjukkan potensi serta berpeluang mewakili negeri dalam sukan ragbi.

Mahkamah juga berkata tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah, telah menunjukkan penyesalan, dan bahawa hukuman penjara hanya akan menambah penderitaan yang sudah ditanggung keluarganya, terutamanya ibu bapa mereka yang telah kehilangan seorang anak dan mungkin bakal kehilangan seorang lagi.

“Namun begitu, hukuman penjara tetap wajar…
Mengambil kira faktor-faktor mitigasi, saya berpendapat bahawa hukuman penjara selama 12 tahun, bermula dari tarikh tangkap, adalah seimbang antara hukuman dan belas ihsan. Ia mencerminkan beratnya perbuatan tersebut serta konteks kekeluargaan tragik di sebalik kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mendengar fakta kes bahawa semasa kejadian hanya mangsa dan tertuduh yang pada ketika itu berusia 26 tahyn berada di rumah. Mangsa berada di dalam bilik tidurnya manakala tertuduh sedang merokok di luar rumah semasa ibubapa dan adik bongsu mereka meninggalkan rumah.

Mangsa telah menulis dengan huruf besar pada sekeping kertas “JGN MEROKOK DALAM RUMAH PUKIMA! BODOH!” ditujukan kepada tertuduh, dan kertas tersebut ditampal pada pintu stor rumah mereka. Ini mencetuskan pergaduhan antara tertuduh dan mangsa. Semasa pergaduhan tersebut, tertuduh telah mencederakan simati berkali-kali di bahagian muka, leher dan dada simati menggunakan tangannya.

Jiran turut mendengar jeritan dari rumah tersebut, dan tidak lama kemudian melihat tertuduh keluar dari rumahnya dalam keadaan cemas dan terburu-buru meninggalkan rumah tersebut.

Apabila Ibubapa, dan adik bongsu tertuduh kembali ke rumah mereka sekitar jam 4.50 petang, ibu tertuduh melihat mangsa tidak sedarkan diri dan dalam keadaan bertiarap berlumuran darah di atas lantai ruang tamu rumah mereka. Tertuduh pula tidak berada dalam rumah tersebut.

Mangsa telah dibawa oleh ibu bapanya ke Unit Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu namun Doktor mengesahkan bahawa mangsa menunjukkan “No signs of life” dan telah diresusitasi. Doktor turut mengesahkan kecederaan mangsa sebagai “Severe traumatic brain injury with hemorrhage shock and multiple facial bone fractures.”

Tertuduh ditahan oleh pihak polis pada 4 Mei 2023, jam lebih kurang 8.15 malam di rumah mereka.

Semasa ditahan, bahagian penumbuk di kedua-dua belah tangan tertuduh dalam keadaan bengkak dan cincin yang dipakai di jari manis tertuduh tidak dapat ditanggalkan, menyebabkan pihak bomba dipanggil untuk memotong cincin tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 6 Mei 2023, jam lebih kurang 10.30 malam.

Hasil bedah siasat pada tubuh simati menemui 24 jenis kecederaan luaran pada tubuh mangsa.

Pemeriksaan bahagian dalaman kepala simati menemui pendarahan bawah kulit kepala yang teruk pada simati, otak simati mengalami bengkak dan batang otak simati mengalami pendarahan.

Bahagian tempurung kepala bawah dan tulang muka simati mengalami kepatahan yang teruk. Pemeriksaan bahagian dalaman leher simati mendapati pendarahan teruk pada bahagian otot leher dan kelenjar tiroid.

Pemeriksaan bahagian dalaman dada simati menemui pendarahan pada bawah kulit dada kanan simati. Terdapat juga kepatahan pada berberapa tulang rusuk simati dan pengumpulan darah pada rongga dada kanan si mati.

Berdasarkan kecederaan keseluruhan simati, punca kematian si mati adalah disebabkan kesan trauma tumpul pada kepala, leher dan dada.

Semasa rayuan hukuman, peguam Edward Paul, bersama Bartholomew Jinggulam, yang mewakili Arden merayu agar tertuduh hanya dikenakan hukuman penjara 10 tahun, dengan alasan ini adalah kesalahan pertama tertuduh.

Edward berkata Arden kesal dengan perbuatannya dan telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. Tindakan tertuduh menurutnya berpunca daripada provokasi akibat nota yang ditampal oleh mangsa dan tertuduh hilang kawalan diri. Katanya lagi, kejadian itu tidak dirancang dan tiada senjata digunakan.

“Jangan biarkan keluarga ini kehilangan seorang lagi anak. Hukuman panjang akan menjejaskan ibu bapa yang sudah tua,” katanya.

Mahkamah turut membenarkan ayah tertuduh memberikan kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta hukuman ringan.

“Arden anak sulung saya, dan saya kini berusia 63 tahun. Kami merayu kepada mahkamah agar memberi hukuman ringan, kerana kami percaya apa yang berlaku bukanlah niatnya,” katanya sambil menambah anaknya amat terkesan dengan kejadian itu.

Menurutnya, Arden berubah selepas pandemik COVID-19 apabila latihan berpusat sukan Ragbi di Sandakan selama setahun dihentikan selepas enam bulan.

“Kami mula nampak kekecewaannya. Dia lebih suka menyendiri, menghabiskan masa dalam bilik.

“Saya bertanya kepadanya, dan dia beritahu satu-satunya keinginannya adalah untuk terus berlatih dan bermain untuk Malaysia,” katanya

Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus berkata, hukuman yang dijatuhkan perlu memberi mesej jelas bahawa keganasan dalam sesebuah keluarga tetap ada akibatnya.

Beliau mengakui bahawa tertuduh masih muda dan tiada rekod jenayah, tetapi menegaskan bahawa kepentingan awam, keperluan pencegahan dan keadilan untuk mangsa perlu diutamakan.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan sifat dan tahap kecederaan yang dialami mangsa serta cara jenayah itu dilakukan, yang jelas menunjukkan mangsa diperlakukan dengan kejam dan mengalami kesakitan amat sebelum meninggal dunia.

Katanya, meskipun usia muda tertuduh boleh menjelaskan beberapa perkara, namun ia tidak menafikan hakikat bahawa nyawa seorang wanita muda yang berpotensi tinggi telah diragut.

“Walaupun dalam kemarahan yang tidak terkawal, undang-undang tetap menuntut pertanggungjawaban.

“Kemarahan bukan alasan untuk membenarkan tingkah laku jenayah, dan tiada siapa yang terkecuali daripada undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ‘Datuk’ antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular