HomeUtamaSabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Seramai 40 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) di sini pada Isnin.

Anugerah tajaan Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) itu dijadual akan disempurnakan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Selain itu, seramai 50 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan 10 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara akan menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS)

Manakala 17 orang pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bakal menerima Anugerah Cemerlang Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Majlis penyampaian anugerah itu dianjurkan secara bersama oleh KYS, JPANS dan MUIS sebagai inisiatif bersepadu untuk memperluas capaian dan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang daripada pelbagai aliran pendidikan.

Terdahulu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata,  anugerah itu merupakan ganjaran atas pencapaian akademik pelajar.

Katanya, inisiatif itu adalah pemangkin untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga berdaya saing, berjiwa kepimpinan dan bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan negeri.

“Kami percaya bahawa generasi akan datang mewakili aset terbesar negara. Masa hadapan negeri Sabah bergantung kepada keupayaan kita membentuk anak muda yang berilmu, berdaya tahan dan beretika.

“Oleh itu, untuk mengekalkan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini, kita perlu menyalurkan usaha kita ke arah melengkapkan kumpulan ini dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang seimbang,” katanya,

Majlis tersebut turut menghimpunkan seramai 1,000 orang pelajar pelbagai sekolah sekitar Kota Kinabalu, sebagai sumber inspirasi dan menyemarakkan semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

“Kepada semua penerima anugerah, jadikan pencapaian ini sebagai titik mula kecemerlangan. Kecemerlangan bukan hanya diukur pada anugerah yang diterima, tetapi pada usaha berterusan untuk berkembang dan menyumbang.

“Walaupun kita telah meraikan kejayaan, adalah penting untuk diingat kejayaan lampau tidak menjamin kejayaan masa hadapan. Kekalkan ketekunan dan sentiasa proaktif demi kejayaan berterusan,” katanya.

Sebagai tonggak utama pembangunan negeri Sabah, inisiatif-inisiatif pendidikan seperti ini wajar terus diperkasakan dan diperluaskan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui KYS, JPANS dan MUIS dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

5,000 biasiswa disedia, pelajar boleh mohon TPNS, BUDI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular