Kota Kinabalu: Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) 2025 diharap menjadi permulaan kepada legasi kepimpinan belia serantau yang berteraskan nilai kemanusiaan dan perpaduan sejagat.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, pendekatan program yang menempatkan peserta di inap desa Kampung Kobuni memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat.
“Program ini membuka ruang kepada peserta untuk mengenali Sabah dari sudut yang berbeza, bukan sahaja keindahan semula jadinya seperti Gunung Kinabalu, Sipadan dan Tip of Borneo, tetapi juga nilai komuniti yang kaya dengan semangat saling menyokong,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun pada Malam Kebudayaan sempena AYVP 2025 di Dewan Kampung Kobuni, di sini pada Jumaat.
Ellron berkata pelaksanaan aktiviti seperti malam kebudayaan, memasak bersama penduduk serta persembahan kesenian memberi peluang kepada peserta menyelami tradisi masyarakat Sabah secara langsung, sekali gus mengangkat nilai perpaduan dan rasa saling menghormati dalam kalangan generasi muda serantau.
Beliau turut menyuarakan harapan agar AYVP dijadikan program warisan ASEAN dan dilaksanakan secara berterusan oleh negara anggota secara bergilir, bermula dengan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026.
“Bayangkan, dari Sabah ke Samar, dari Kobuni ke Quezon, belia ASEAN berganding bahu dalam khidmat, tahun demi tahun, negara demi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peserta AYVP 2025, Sos Solihen berkata setiap aktiviti yang dijalankan, walaupun ringkas, membawa makna yang besar dan mendalam kepada para peserta.
“Ia mencerminkan keupayaan golongan belia apabila dipandu dengan nilai belas ihsan, semangat kerjasama dan matlamat yang sama.
“Pengalaman ini memperkukuh rasa hormat kami terhadap warisan budaya Sabah serta keramahan rakyatnya yang amat menyentuh hati,” ujarnya.
AYVP 2025 menghimpunkan penyertaan belia dari 11 negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Myanmar, Timor-Leste, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Laos.-