Kota Kinabalu : Penubuhan Rakan Integriti Universiti Malaysia Sabah (RIUMS) mampu menjadi tunjang kepada memantapkan usaha membudayakan nilai integriti dan etika kerja profesional menerusi penglibatan seluruh entiti warga universiti.
Pengarah Bahagian Integriti UMS (BIUMS) Darwis Awang berkata, RIUMS bukan sekadar simbol komitmen institusi, tetapi satu gerakan sosial berstruktur yang melibatkan pelbagai lapisan warga kampus, pensyarah, staf pentadbiran, pelajar dan kontraktor.
“Mereka adalah ejen perubahan yang membawa mesej integriti terus ke bilik kuliah, pejabat pentadbiran, dan komuniti pelajar.
“Tanggungjawab RIUMS bukan hanya melaporkan isu, tetapi memupuk nilai jujur, amanah dan akauntabiliti dalam tindakan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan satu taklimat khas bertajuk ‘Rakan Integriti UMS: Agen Perubahan Budaya Amanah’ di Auditorium Pascasiswazah, UMS.
Darwis turut menekankan peranan penting golongan pelaksana di akar umbi dalam menjayakan Pelan Integriti UMS 2025-2029.
Mengulas lanjut berkenaan RIUMS, Darwis berkata satu struktur yang merangkumi Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Kerja dan Koordinator Rakan Integriti akan dibentuk di semua peringkat.
“Ini bertujuan untuk memantapkan pelaksanaan prinsip tadbir urus terbaik, menyebar luas aktiviti advokasi dan kesedaran, menyediakan laporan berkala sebagai input pemantauan, serta menjadi pemudah cara pelaksanaan pelan “Quick Wins” integriti.
“Pelaporan isu juga diperkasa melalui saluran rasmi BIUMS termasuk borang dalam talian, emel dan sesi temu janji.
“Perlindungan identiti pelapor adalah teras kepercayaan terhadap sistem yang telus,” katanya.
Beliau berkata, dengan semangat kolektif dan penyertaan aktif dari pelbagai Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) serta komuniti kampus lain, BIUMS yakin UMS mampu menjadi penanda aras universiti awam dalam aspek tadbir urus cemerlang.
Dalam taklimat tersebut, pelan lima tahun ke hadapan yang berfasa dibentangkan, bermula dengan pemantapan struktur, pembudayaan nilai, penilaian prestasi, jaringan luar, dan akhirnya pengiktirafan institusi sebagai model nasional integriti menjelang 2029.
Turut hadir dalam sesi tersebut wakil-wakil dari pelbagai JAFPIB di UMS yang merupakan antara entiti teras dalam jaringan Rakan Integriti UMS.