Oleh Sitti Nor Azizah Talata
Tawau : Sepasukan polis dari Unit MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan dua lelaki tempatan selepas menemui dadah jenis syabu dan lebih 890 butir peluru dalam sebuah van yang diperiksa dalam satu sekatan jalan raya, di sini semalam.
Penahanan dibuat ketika operasi ‘Snap Spotcheck’ dijalankan di kawasan Jalan Timur, di mana pasukan polis mengesan sebuah kenderaan jenis van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan ia berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, pemeriksaan awal mendapati pemandu van tidak memiliki lesen memandu sah, dan turut ditemui sepaket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat kira-kira 0.14 gram dalam milikannya.
“Pemeriksaan seterusnya ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan satu plastik hitam yang mengandungi lebih kurang 890 butir peluru, dipercayai milik penumpang van berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek berumur antara 35 hingga 47 tahun telah ditahan dan dibawa ke balai polis bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.