HomeUtamaMuzium Sabah ke arah digital, perkenal AR dan VR

Muzium Sabah ke arah digital, perkenal AR dan VR

Read Time:2 Minute, 59 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Muzium Sabah kini memperkenalkan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) bagi memperkasa usaha pemeliharaan serta penyampaian warisan budaya secara digital.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, teknologi berkapasiti tinggi itu membolehkan para pengunjung merasai suasana rumah-rumah tradisional Sabah  (di Kg. Warisan Fasa 1 dan 2) dalam bentuk interaktif digital.

Joniston (kiri) melawat pameran yang diadakan. — Foto oleh J. Evachel John

“Dengan teknologi ini, pengunjung bukan sahaja dapat melihat, malah dapat ‘masuk’ ke dalam rumah tradisional Bajau, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain melalui alat AR dan VR ini pada bila-bila masa, dan di mana-mana juga.

“Ini membuktikan bahawa warisan tidak beku di masa lalu, tetapi hidup dalam masa depan. Dan inilah komitmen kita mengangkat muzium ke era digital,” katanya.

Beliau berkata  dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Intan Muzium Sabah di Kg. Warisan Fasa 2, Kompleks Muzium Sabah.

Atitih Yati Robert mencuba teknologi berkapasiti tinggi yang diperkenalkan pada acara itu. — Foto oleh J. Evachel John

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Datuk Joniston Bangkuai, yang turut merasmikan majlis tersebut.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai dan Pengarah Muzium Negeri Sabah, Arif Abd Hamid.

Menurut Christina dalam tempoh enam dekad sejak penubuhannya pada 15 Julai 1965, Jabatan Muzium Sabah telah berkembang pesat daripada sebuah ruang sempit di Jalan Gaya kepada pengoperasian 23 tapak muzium dan ‘In-Situ’ di seluruh negeri, termasuk di Kudat, Keningau, Kinabatangan, Semporna, Sandakan, dan Tenom.

“Hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa sebanyak 23 tapak muzium dan ‘In-Situ’ telah berjaya ditubuhkan di seluruh Sabah. 

Salah seorang pengunjung mencuba teknologi AR dan VR. — Foto oleh J. Evachel John

“Ini termasuk Muzium Tun Mustapha Kudat; Muzium Warisan Keningau; Rumah Agnes Keith di Sandakan; Muzium Tun Sakaran dan Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna; Muzium Agop Batu Tulug, Kinabatangan; dan Batu Berukir Lumuyu Tenom,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa sebuah muzium baharu, iaitu Muzium Tamadun dan Etnik Dusun Ranau, akan dibangunkan di daerah Ranau dalam masa terdekat.

“Kesemua ini menjadi bukti bahawa usaha pemeliharaan sejarah tidak hanya tertumpu di bandar, tetapi diperluas ke seluruh pelusuk negeri supaya warisan Sabah benar-benar dirasai oleh semua rakyat,” katanya.

Christina merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Muzium Sabah yang telah berusaha memelihara, mendokumentasi dan membina warisan negeri ini selama enam dekad.

“Saya percaya, dengan semangat dan visi yang jelas, Jabatan Muzium Sabah akan terus menjadi peneraju dalam mendidik rakyat, memperkasa identiti dan memartabatkan warisan tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan pelantikan rasmi Duta Muzium Sabah, yang disandang oleh pemenang Unduk Ngadau Peringkat Negeri 2025, Atitih Yati Robert, dengan tempoh pelantikan selama setahun.

“Inisiatif ini bertujuan melibatkan lebih ramai golongan muda, tokoh budaya, penggiat seni dan ‘influencer’ dalam menyebarkan mesej warisan secara kreatif dan meluas.

“Duta ini akan menjadi jurucakap budaya, menjalankan program kesedaran dan mempromosikan nilai sejarah kepada komuniti masing-masing sama ada secara fizikal atau melalui platform media sosial,” katanya.

Terdahulu, majlis diserikan dengan pembukaan rasmi Pameran Jubli Intan Muzium Sabah, yang mempersembahkan dokumentasi visual, bahan arkib, koleksi artifak penting dan kronologi perkembangan jabatan dari tahun 1965 hingga kini.

Pengunjung turut berpeluang mencuba sendiri teknologi AR dan VR yang dipamerkan kepada umum.

Selain itu, Karnival Sukan Rakyat, turut diadakan bagi  menghidupkan kembali sukan tradisional seperti permainan dam aji, congkak, tarik tali, menyumpit, dan banyak lagi.

Christina berkata aktiviti sebegini  menjadi platform mendekatkan generasi muda dengan tradisi nenek moyang. 

“Warisan bukan hanya dipamerkan. Ia perlu dihayati, dimainkan, dan diwarisi,” katanya. – Chronivo.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular