Kota Kinabalu : Masalah tekanan air rendah yang dihadapi beberapa buah hotel bertaraf lima bintang dan pusat membeli-belah utama di sekitar Kota Kinabalu kini menunjukkan perkembangan positif dari segi pemulihan bekalan air.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, masalah yang berlaku sejak dua minggu lalu itu berpunca daripada permintaan tinggi serta beberapa kerosakan teknikal yang memerlukan masa untuk dipulihkan sepenuhnya.
“Saya sendiri menerima aduan daripada pengusaha-pengusaha hotel sekitar Kota Kinabalu mengenai tekanan air yang rendah, khususnya dalam tempoh 24 jam.
“Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah maklumkan bahawa ia berpunca daripada permintaan tinggi serta beberapa isu teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program serahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2024 Sekolah-Sekolah dalam Parlimen Putatan bertempat di sini pada Jumaat.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, situasi kini semakin stabil apabila kerja-kerja penyambungan paip Projek Telibong 2 Fasa 2 telah disiapkan beberapa hari lalu.
Katanya, kerja-kerja ‘flushing’, ujian dan pentauliahan juga telah dimulakan sejak Rabu lalu, dengan sebahagian air terawat sudah mula disalurkan ke kawasan Inanam dan seterusnya ke kawasan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.
“Saya dimaklumkan bahawa tekanan air di beberapa hotel utama seperti Le Meridien dan Promenade kini menunjukkan pemulihan. Malah pihak pengurusan Le Meridien sendiri telah menghubungi saya untuk menyatakan kepuasan terhadap peningkatan tekanan air tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa pusat membeli-belah turut terjejas sebelum ini, termasuk Suria Sabah dan Wisma Merdeka.
Namun beliau menambah, keadaan juga telah menunjukkan pemulihan dengan kebanyakan premis di kawasan pusat bandar (CBD) kini sudah menerima bekalan air secara konsisten.
“Suria Sabah mengalami sedikit gangguan disebabkan isu teknikal dalaman, manakala Wisma Merdeka sebelum ini mengalami gangguan selama beberapa hari tetapi kini telah kembali pulih,” katanya
Dalan pada itu, Shahelmey berkata, kawasan Putatan yang sebelum ini mengalami situasi kritikal berikutan paip pecah berhampiran loji serta isu teknikal pengagihan juga sedang dalam pemulihan.
Katanta, loji Skim Bekalan Air Segera (UWSS) baharu di Kasigui yang berkapasiti lima juta liter sehari telah beroperasi dan dijangka membantu menstabilkan bekalan air sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Saya akan terus memantau dan berharap bekalan air akan kekal konsisten selepas ini, dengan kapasiti air yang ada seharusnya sudah mampu memenuhi keperluan pengguna di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang,” katanya. – Chronivo