Sook : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makananan (KPKM) menyokong penuh usaha untuk membangunkan ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar khususnya di pedalaman Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada sektor pertanian bernilai tinggi seperti tanaman Nanas MD-2.

“Walaupun projek asal Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) adalah tanaman sawit, tetapi bukan semua kawasan ini sesuai untuk ditanam sawit.
“Saya menyokong inisiatif SLDB untuk mengoptimumkan kawasan ini dengan tanaman yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat seperti nanas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tanaman Nanas MD2 SLDB di sini pada Khamis.
Arthur berkata, melalui kerjasama tersebut, KPKM telah menyalurkan sebanyak RM1 juta melalui program mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama Kerajaan Negeri kepada SLDB untuk mulakan projek tanaman nanas ini.
Katanya, Fasa 1 projek itu melibatkan keluasan sebanyak enam hektar dengan tanaman 250,000 sulur nanas yang akan memberi manfaat kepada 695 peserta di kawasan ini.
Menurutnya, peserta akan mula menikmati tuaian pertama dalam 12 hingga 15 bulan dari sekarang.

“Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut dilibatkan bagi melihat potensi kerjasama khususnya dalam mewujudkan industri nanas di sini
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran nanas negara, bahkan membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan pekebun tempatan serta menggalakkan pembangunan ekonomi luar bandar secara menyeluruh,” katanya.
Hadir sama Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrul R Joddari; Pengerusi LPNM, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh.
Terdahulu, Arthur turut merasmikan Taklimat Asas Penanaman Nanas Kepada Komuniti Kampung Sakikilo, Sook.
Katanya, usaha yang dibawakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook, projek tanaman nanas MD2 dilaksanakan secara berkelompok di Kampung Sakikilo, yang melibatkan sebanyak 42 keluarga.
Di majlis tersebut sebanyak 5,000 sulur nanas, lebih 300kg baja, dan sebuah mesin mini tiller telah diserahkan bagi mulakan projek komuniti tersebut.
“Pihak LPNM akan berkongsi kepakaran dalam penanaman buah nanas di samping memantau projek tersebut bersama-sama PPK Sook sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan komuniti di sini.
“Saya sedang merancang supaya LPNM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia dapat mewujudkan industri nanas di Sook sebagai satu industri dan sumber ekonomi baharu bagi daerah pedalaman Sabah.
“Kita memilih tanaman nanas kerana buah ini mempunyai potensi tanaman, pasaran dan pemprosesan produk hiliran yang sangat tinggi selain sesuai ditanam di daerah ini.
“Untuk mewujudkan industri ini kita perlu bertanam secara lebih terancang, tersusun, dan berkelompok supaya kita dapat mencapai skala yang besar untuk sampai ke tahap Perindustrian,” katanya.