HomeUtamaPenjawat awam perlu tangkas, berdaya saing hadapi cabaran semasa

Penjawat awam perlu tangkas, berdaya saing hadapi cabaran semasa

Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Tawau: Penjawat awam masa kini tidak boleh berada di takuk lama, sebaliknya perlu memperkukuh keupayaan diri dan menyesuaikan diri dengan perubahan pantas landskap semasa yang didorong oleh teknologi dan jangkaan rakyat yang semakin tinggi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, hanya dengan berdaya saing dan tangkas beradaptasi, penjawat awam mampu mengekalkan relevan serta terus menyumbang secara efektif dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Dalam meniti arus kemodenan ini, kita berhadapan dengan era perubahan yang pantas, ledakan teknologi, kehendak rakyat yang semakin tinggi serta keperluan untuk perkhidmatan yang lebih efisien dan responsif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Perbandaran Tawau Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini malam tadi.

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas Datuk Nizaam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah merangkap ADUN Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal; ADUN Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan Timbalan Presiden, Majlis Perbandaran Tawau, merangkap Penasihat II, APC 2025, Shoffian Mohd Said. 

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, menegaskan bahawa pengalaman mencapai kejayaan dalam sektor perkhidmatan awam bukan sahaja memberikan kepuasan, malah menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk terus melaksanakan amanah dengan cemerlang.

“Pengalaman menerima pengiktirafan seperti APC ini memberi satu perasaan kepuasan dalam bekerja dan semangat motivasi yang amat besar kepada setiap penerima. Ia juga adalah detik yang cukup menggembirakan dan penuh makna dalam kerjaya penjawat awam,” katanya.

Dr. Joachim turut menyeru warga Majlis Perbandaran Tawau (MPT) agar terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi yang berteraskan integriti dan kecekapan perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru agar warga MPT terus memperkukuh nilai integriti, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi organisasi seperti MPT adalah hasil kerjasama berpasukan, semangat setiakawan serta budaya kerja yang profesional dan bertanggungjawab.

Tegasnya, anugerah APC bukan sekadar bentuk penghormatan kepada individu terpilih, tetapi simbol pengiktirafan terhadap komitmen dan disiplin tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan awam yang cemerlang.

“Saya percaya, kejayaan yang kita capai hari ini bukan hasil kerja seorang, tetapi hasil kerjasama berpasukan dan budaya kerja berintegriti yang menjadi teras kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa anugerah tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai kemuncak pencapaian, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus mencipta idea baharu dan memperluas sumbangan kepada kementerian, jabatan dan negara.

“Masih banyak yang boleh disumbangkan, idea bernas yang boleh dikupas dan khidmat bakti yang hendak dicurahkan demi kementerian dan jabatan,” katanya.

Pada majlis itu, beberapa penjawat awam MPT menerima pengiktirafan APC berdasarkan prestasi tahunan 2024 yang cemerlang serta sumbangan signifikan kepada organisasi dan komuniti.

Dr. Joachim turut menyampaikan penghargaan kepada pesara MPT 2024 atas jasa bakti mereka sepanjang berkhidmat dan menyifatkan pengorbanan mereka sebagai aset penting yang dikenang sepanjang zaman.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden MPT yang juga Penasihat I, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, Joseph Pang serta urus setia dan semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan.

“Saya berharap segala kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular