Oleh Sitti Nor Azizah Talata
Tawau : Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Kubota, Tawau disiapkan mengikut jadual, tanpa sebarang lanjutan masa tambahan.
Projek bernilai keseluruhan RM191 juta, yang dimulakan pada 2 Mei 2023 dan dijadual siap pada 31 Oktober 2026, kini telah mencapai 14 peratus kemajuan.
Beliau berkata, ia merupakan antara inisiatif strategik Kementerian Pertahanan untuk memperkukuh kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka melalui penyediaan perumahan moden, selesa dan selamat.

“Saya optimis projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Tetapi saya juga memberi peringatan tegas tidak akan ada lanjutan masa kali ketiga (EOT 3),” kata beliau dalam sidang media selepas lawatan tapak RKAT, di sini semalam.
Projek ini dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), dengan Kementerian Pertahanan sebagai pemilik projek dan syarikat Erawan Power Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pada masa akan, datang antara langkah inovatif yang diketengahkan ialah pembinaan kemudahan IBS (Industrialized Building System) secara in-situ, terus ke tapak pembinaan bagi mengelakkan keperluan pengangkutan dan tanggungan yang kos tinggi.
“Penyediaan kemudahan IBS in-situ akan menjimatkan masa, mengurangkan kos logistik, dan paling penting, meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek,” katanya.
Ahmad turut menegaskan bahawa sebarang kelewatan akan dikenakan tindakan mengikut perjanjian, termasuk denda LAD (Liquidated Ascertained Damages) sebanyak RM16,391 sehari, selain kemungkinan penamatan jaminan kontraktor dan penggantungan lesen.
RKAT Kem Kubota bakal menyediakan 182 unit kediaman pelbagai jenis, termasuk pangsapuri Kelas G, C1, E dan F, rumah banglo, semi-D, tadika, taska, gelanggang serbaguna, taman permainan dan menara tangki air baharu.
Beliau menambah, projek tersebut menyasarkan untuk menangani masalah penempatan sementara anggota tentera yang kini ditempatkan secara berkelompok di taman-taman perumahan sekitar Tawau dengan kos sewaan tinggi.
“Projek ini sangat mendesak. Ia melibatkan kira-kira 1,500 keluarga anggota tentera yang amat memerlukan kediaman. Ini soal kebajikan, bukan pilihan,” ujar beliau.- Chronivo