Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan menyalurkan bantuan segera kepada waris pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Papar Rabu lalu.
Exco Pendidikan dan Agama Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan berupa sumbangan kewangan dan sokongan kebajikan akan diberikan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi saat sukar ini.
“Saya bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempat menziarahi Allahyarhamah ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 malam Rabu lalu.
“Saya memberi jaminan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan polis dalam kes ini. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap insiden yang berlaku dan kami turut bersedih atas kehilangan ini.
“Justeru, MUIS dan TPNS akan menyalurkan bantuan segera kepada keluarga pelajar tersebut sebagai tanda solidariti dan keprihatinan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya turut menyeru masyarakat agar tidak menyebarkan spekulasi mengenai kejadian tersebut dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Saya bagi pihak Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar dan saya berharap kita semua bersabar,” katanya.
Terdahulu, insiden menimpa pelajar perempuan berasal dari Sipitang itu tular selepas berita mengenainya dikongsikan di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan netizen. – Chronivo