Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden kematian seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya bersama pengurusan tertinggi KPM akan memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.
“Saya dan pengurusan tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial.
“Pada waktu ini kejadian sedang berada dalam siasatan pihak polis. KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Jumaat
Fadhlina turut menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh menggangu siasatan.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli.
Beliau menerusi hantaran di Facebook turut melahirkan rasa sedia atas kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di negeri ini.
“Sedih pagi-pagi baca berita mangsa buli meninggal dunia di sebuah sekolah di Sabah. Kena ambil tindakan tegas terhadap pembuli.
“Semua pihak wajib ambil peduli isu buli dan tangani secara holistik,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut dipercayai pada Rabu lalu.