Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan seksual melibatkan remaja perempuan bawah umur.
Tertuduh Jumat Pillih, 33, dan Olkestria Bandang, 43, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Jumat didakwa merogol seorang mangsa berusia 15 tahun pada 20 November 2021 di bilik stor di KDCA Penampang, sekitar jam 6 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000, dengan deposit RM5,000 serta dua orang penjamin tempatan.
Sebagai syarat tambahan, tertuduh diperintahkan melapor diri ke balai polis dua kali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala peguam Dominic Chew mewakili tertuduh.
Bagi kes Olkestria, dia didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang mangsa berusia 13 tahun.
Olkestria yang dihadapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, didakwa melakukan perbuatan itu pada November 2024, kira-kira jam 7 malam, di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di Inanam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Oktober sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh atau mana-mana pihak bagi pihaknya supaya tidak mendekati atau mengganggu mangsa, keluarga mangsa, atau mana-mana saksi pendakwaan.
TPR Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Nartiah F. Mirchelle Sambatan mewakili tertuduh. – Chronivo