HomeUtamaAdun Sindumin gesa siasatan terperinci kematian pelajar di asrama

Adun Sindumin gesa siasatan terperinci kematian pelajar di asrama

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob memandang serius insiden kematian seorang pelajar di sebuah sekolah menengah dekat sini, semalam.

Menurut beliau, insiden menyayat hati itu bukan sahaja mengejutkan pihak sekolah dan ibu bapa, malah turut mengundang persoalan tentang tahap keselamatan dan kebajikan pelajar di asrama.

Dr Yusof yang sempat melawat jenazah pelajar berkenaan di Hospital Queen Elizabeth I (QEH1), berkata beliau telah dimaklumkan secara awal oleh pihak sekolah mengenai kejadian tersebut.

Katanya, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan pihaknya menyerahkan kepada polis serta pihak hospital untuk menyelesaikan siasatan.

“Pelajar berasal dari Sipitang itu ditemui dalam keadaan parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah sekitar jam 3 pagi. Walaupun bilik pelajar tersebut terletak di tingkat tiga bersama pelajar lain, tiada siapa melihat bagaimana kejadian berlaku.

“Sama ada pelajar itu terjatuh sendiri atau melibatkan individu lain masih belum diketahui kerana ketika kejadian, pelajar-pelajar lain sedang tidur,” katanya ketika dihubungi Chronivo, hari ini.

Menurut Dr Yusof, bedah siasat telah dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, manakala pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Pendidikan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh terhadap kes tersebut.

“Saya juga menggesa Jabatan Pendidikan menyiasat aspek keselamatan asrama, status psikologi dan kesihatan pelajar, serta mengenal pasti sama ada wujud unsur buli atau tekanan fizikal dan mental yang dialami pelajar terbabit,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tragedi seumpama ini wajar dijadikan pengajaran buat semua pihak dan memerlukan tindakan susulan konkrit agar keselamatan serta kebajikan pelajar asrama sentiasa terjamin.

“Keselamatan pelajar adalah keutamaan. Pihak sekolah dan jabatan berkaitan perlu memastikan persekitaran asrama benar-benar selamat dan kondusif, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental dan emosi pelajar,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular