Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah, melalui SMJ Energy (SMJE), akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.
Ini susulan pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) antara SMJ Energy dan Petronas di Malaysia Petroleum Club (MPC) di sini hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan pemeteraian perjanian itu berkata, perkongsian itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah.
Selain itu katanya, ia turut merancakkan pertumbuhan industri dan keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang baharu untuk memacu kemajuan Sabah.
“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri sambil memastikan hasil sumber asli Sabah memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan Sabah yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.
Kemudahan ZLNG dengan kapasiti 2 juta tan metrik setahun (MTPA) merupakan tambahan penting kepada landskap LNG Malaysia.
Terletak berhampiran pantai di Sipitang, ZLNG kini sedang dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2027.
Projek ini melengkapi jejak LNG Sabah yang semakin berkembang, selain dua lagi kemudahan LNG terapung, PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA), yang kini beroperasi di perairan Sabah.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan hasrat untuk memperoleh 40 peratus penyertaan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan proses kajian wajar dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2025.
Sejak pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada Disember 2021, pertumbuhan SMJ Energy berkembang pesat.
Syarikat ini kini memiliki 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC, 10 peratus ekuiti dalam LNG9, 25 peratus ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR, serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.
SMJ Energy juga mempunyai hak pegangan percuma dan hak penglibatan semula dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat berkata, pihaknya adalah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan berdisiplin dalam membina portfolio.
Katanya, penyertaan pihaknya dalam ZLNG adalah sebahagian daripada pelan strategik untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Peluang ini selari dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai jangka panjang dan stabil daripada aset berkualiti tinggi dan mampu menjana keuntungan,” katanya.
Aspirasi hiliran Sabah juga sedang berkembang pesat dimana Sabah Energy Corporation (SEC), sebagai pengumpul dan pengedar gas negeri, memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil untuk industri-industri di Sabah.
Salah satu projek pentingnya termasuk membekalkan gas kepada loji keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), iaitu pelaburan utama yang menyokong usaha Sabah ke arah pempelbagaian industri. – Chronivo