Oleh Normimie Diun
PAPAR: Lima inisiatif utama yang diperkenalkan oleh 10Star Cinemas dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif Sabah, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada anak tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah berani syarikat itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pawagam berkualiti di daerah luar bandar seperti Papar, malah turut memperkenalkan lima program komuniti yang memberi impak besar kepada pembangunan bakat serta ekonomi rakyat.
“Pertamanya, saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 10Star Cinemas dan produksi filem Impak Maksima 2 kerana memilih Papar sebagai lokasi tayangan perdana filem ini yang akan ditayangkan di seluruh negara bermula esok (17 Julai).
“Bukan sekadar pawagam, hala tuju 10Star Cinemas turut memperkenalkan lima inisiatif penting iaitu Cinema Charity, Cinema Awareness, Cinema Talk, Cinema Film Distribution dan Cinema Short Film,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran tayangan komersial filem pendek Sabah dan tayangan perdana Impak Maksima 2 di Parklane City Benoni, malam tadi.
Menurut Armizan, lima inisiatif tersebut bukan sekadar membina komuniti penonton, malah berupaya mencungkil dan mengetengahkan bakat seni kreatif tempatan menerusi platform yang lebih tersusun dan profesional.
“Kita tahu Sabah berdepan kekangan dari segi ekosistem industri kreatif berbanding di Semenanjung. Tetapi lima inisiatif ini mampu menjadi batu loncatan.
“Ini termasuk dalam aspek pencarian bakat, pembangunan, dan penciptaan peluang pasaran kepada filem pendek serta karya tempatan Sabah,” jelasnya.
Dalam majlis itu, Armizan turut memuji keberanian 10Star Cinemas yang melabur lebih RM100 juta termasuk membuka enam pawagam di kawasan luar bandar Sabah, dan dua lagi dalam perancangan masing-masing di Kinarut dan Kundasang.
Lebih membanggakan, katanya, Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal, merupakan anak jati Tawau yang membawa pulang pengalaman dan jaringan industri ke Sabah demi membangunkan industri kreatif negeri ini.
“Sabah tidak boleh harapkan kerajaan semata-mata. Kita perlu manfaatkan stakeholders sedia ada. Saya lihat 10Star Cinemas sebagai rakan strategik dalam memacu ekosistem kreatif Sabah,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan mengangkat cadangan dan hala tuju ini kepada Kerajaan Negeri serta Kementerian Komunikasi di peringkat Persekutuan bagi merangka pelan strategik industri kreatif Sabah.
“Saya telah berbincang dengan saudara Onn dan Pengarah Filem, Dr Ahmad Idham agar mereka bantu menyediakan kerangka hala tuju ini. Kita mahu pastikan pembangunan industri kreatif ini juga menyumbang kepada sumber pendapatan rakyat.
“Kalau kita sebut kos sara hidup, bukan semata-mata tentang harga barang. Tapi bagaimana rakyat boleh tambah pendapatan. Dan industri kreatif adalah satu jalannya,” tegasnya.
Bagi jangka panjang, Armizan mencadangkan agar Kompleks Kebudayaan Kinarut yang sedang dibina dijadikan sebagai hab industri kreatif Sabah.
“Kita tak perlu bina pusat baharu dari kosong. Kita leverage kemudahan yang ada dan lengkapkan ekosistem. Kalau ada studio dan sokongan logistik yang baik, kita juga boleh tarik produksi antarabangsa untuk penggambaran di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan hasrat agar pawagam di luar bandar dimanfaatkan untuk program Cinema Talk dan bengkel kreatif yang boleh mendedahkan anak muda kepada peluang dalam industri seni.
“Kita mahu hasilkan bukan hanya pelakon atau pengarah, tetapi juga tenaga produksi, penulis skrip, editor dan semua elemen penting dalam industri kreatif.
“Dan rangkaian 10Star Cinemas ini adalah antara pintu masuk utama ke arah itu,” katanya.
Majlis tayangan turut diserikan dengan kehadiran pelakon-pelakon Impak Maksima 2, sesi bergambar serta gimik pelancaran filem pendek Sabah yang menjadi penanda aras baharu kepada kebangkitan filem tempatan di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WSG yang juga pemaju Parklane City Benoni, Datuk Susan Wong, turut meluahkan penghargaan kepada 10Star Cinemas atas usaha membawa keceriaan dan kemeriahan ke Parklane City Benoni, khususnya untuk penduduk Papar dan sekitarnya.
“Saya rasa sangat bangga dan gembira… ini kali pertama tayangan perdana filem Malaysia dibuat di Sabah, khususnya di Benoni, Papar,” katanya.
Menurut beliau, acara itu berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dan mencetuskan suasana meriah, sekali gus membuktikan potensi Benoni sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini.
“Ramai orang datang… kerajaan negeri pun turut serta dengan menganjurkan karnival makanan. Jadi suasana sangat meriah dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan masa depan kawasan itu merangkumi pembinaan kolej, pusat beli-belah dan stesen minyak bagi melengkapkan kemudahan sedia ada.
“Saya harap akan ada lebih banyak acara seperti ini diadakan dengan sokongan kerajaan supaya lebih ramai orang datang dan Papar terus berkembang,” katanya.