Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki pelbagai barang curi.
M. Suhaimiwanshah Hamjah, 38, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Bagi pertuduhan pertama, Suhaimiwanshah didenda RM4,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah beg silang dan sekeping kad kredit milik seorang lelaki pada 1 Julai lalu di perkarangan luar Jesselton Mall, Jalan Tun Fuad Stephens, dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM6,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana menyimpan pelbagai harta curi iaitu sekeping MyKid, lesen memandu, pelbagai jenis kad, dan sepasang kasut golf pada masa dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi kes pertama, pemilik membuat laporan polis pada 1 Julai setelah menyedari barang-barangnya hilang di sebuah rumah penginapan.
Bagi kes kedua, pemilik membuat laporan polis bahawa rumahnya telah dipecah masuk pada 30 Jun dan beberapa barang telah hilang.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Yusdi Basri.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan semua barang kes dikembalikan kepada pemilik asal.