Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku bernilai lebih RM35 juta dan menahan seramai 29 individu dalam satu operasi bersepadu besar-besaran yang dijalankan di seluruh negeri semalam (15 Julai).
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi yang dinamakan Op Taring Chiller itu dijalankan serentak di sepuluh daerah termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Keningau bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.
Beliau berkata, operasi itu bertujuan membendung aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku yang melanggar peraturan selain mengesan pelbagai kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna dan kesihatan awam.
“Seramai 275 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu tersebut, antaranya PGA Briged Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Pertanian Sabah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rani, dalam operasi itu, seramai 29 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun telah ditahan melibatkan 22 lelaki dan tujuh wanita.
“Daripada jumlah itu, 24 orang merupakan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing dari Filipina, Indonesia dan China,” katanya.
Jelas beliau, rampasan membabitkan pelbagai jenis produk ayam, daging, makanan laut dan pelbagai jenis produk sejuk beku lain seperti kentang goreng, mentega, keju dan aiskrim.
“Turut dirampas ialah pelbagai peralatan dan kenderaan termasuk peti sejuk beku berskala besar, mesin pemotong dan pengisar daging, forklift, lori bonded serta kontena sejuk beku,” ujarnya.
Tambah beliau, daripada 19 premis yang disasarkan dalam operasi tersebut, 15 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen perniagaan, melanggar peraturan kebersihan makanan, serta melakukan pelanggaran terhadap undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan, Enakmen Haiwan, Akta Kerajaan Tempatan dan Ordinan Perlesenan Perdagangan.
Beliau turut menegaskan bahawa operasi itu bukan sahaja berjaya membanteras kegiatan haram berkaitan pengurusan makanan sejuk beku, malah memberi peringatan kepada para pengusaha agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Operasi itu juga membantu mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan lain yang memberi kesan kepada kepentingan awam dan keselamatan pengguna.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut undang-undang,” katanya.