HomeSukanMaijol Mahap kekal terajui SBA

Maijol Mahap kekal terajui SBA

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu: Datuk Maijol Mahap kekal sebagai Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA) bagi penggal 2025 hingga 2029 selepas meraih kepercayaan majoriti perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-70 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.

Beliau memperoleh 33 daripada 38 undi yang dipertandingkan dalam pemilihan tersebut, sekali gus mengekalkan kedudukan tertinggi dalam persatuan badminton negeri itu.

Ketika ditemui, Maijol menzahirkan penghargaan atas sokongan padu daripada semua perwakilan, khususnya daripada 19 daerah yang hadir melengkapkan proses penting dalam pentadbiran SBA.

“Saya amat berbesar hati menerima mandat besar ini dan menganggapnya sebagai satu penghormatan serta tanggungjawab untuk terus memperkukuh pembangunan badminton di Sabah,” katanya.

Menurutnya, fokus utama kepimpinan baharu adalah meneruskan agenda pembangunan akar umbi dan mempertingkatkan prestasi atlet negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pemilihan ini penting untuk memastikan SBA terus diterima dan berfungsi secara sah mengikut perlembagaan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Kami akan terus berusaha membawa perubahan positif dalam dunia badminton negeri,” katanya.

Sementara itu, pemilihan turut menyaksikan Suriansa A. Kadir dipilih sebagai Timbalan Presiden SBA, manakala jawatan Naib Presiden disandang oleh John Baru, Sudirman Abas, Sanif Alfia dan Ag Damit A. Bakar.

Enam individu terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi iaitu Roger Langgau, Dr Joinis Longkiad, Khoo Chui Eng, Abd Husin Sairi, Sumitah Hassan dan Jimin Tibin.

Bagi jawatan lantikan, Anthony Liaw diumumkan sebagai Naib Presiden; Rechine Jikah sebagai Setiausaha Kehormat dan dibantu oleh Samsuddin Abu Bakar Gait; manakala Bendahari Kehormat disandang oleh Felix Francis Ganang dengan Steeve Koh sebagai Penolong Bendahari.

Empat Ahli Majlis Tertinggi lantikan pula ialah Mohd Ak Yazri Ak Yahya, Androw Celyron Sindeh, Lily Lidond dan Dr Ovelyn Matanluk.

Maijol berkata, barisan kepimpinan baharu akan bergerak secara kolektif dalam memastikan hala tuju SBA kekal relevan dan terus melonjak prestasi sukan badminton di negeri ini. 

RELATED ARTICLES
Sukan

Tujuh pasukan sertai kejohanan Pesta Sukan Muhibbah JKM Ke-14

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular