Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Seramai 159 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerima bantuan kewangan melalui Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN MADANI, yang bertujuan meringankan beban sara hidup pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Majlis penyampaian bantuan berjumlah RM79,500 itu berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kampus UiTM Kota Kinabalu dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Melalui inisiatif ini, setiap pelajar yang layak menerima bantuan tunai one-off sebanyak RM500, hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
DR Zambry dalam ucapannya berkata, Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN MADANI diperkenalkan sejak tahun 2022 dan sehingga kini telah memberi manfaat kepada 1,962 pelajar di 16 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM981,000.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen KPT dan PTPTN dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, sejajar dengan aspirasi MADANI dan usaha melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik demi masa depan pendidikan anak-anak, walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan dan cabaran.
“Di pihak kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan terus berusaha walaupun kadangkala kita mendengar pelbagai cerita … ada yang mengadu, mengkritik, mengatakan kerajaan tidak buat itu dan ini. Namun, kerajaan yang bertanggungjawab pasti ada tindakannya,” katanya.
Dr. Zambry turut menegaskan bahawa penubuhan UiTM bukan sekadar simbolik atau bersifat retorik semata-mata, tetapi lahir daripada misi besar untuk mengubah nasib anak bangsa.
“Kalau kerajaan tidak bertanggungjawab, tidak akan wujud UiTM. Penubuhan UiTM bukan atas dasar drama atau semangat semata-mata, tetapi ia dibina dengan satu misi yang besar untuk mengubah nasib anak-anak kita,” jelas beliau.
Menurut beliau, UiTM kini merupakan universiti dengan jaringan kampus terbesar di negara ini, iaitu sebanyak 34 kampus dengan jumlah pelajar semasa seramai 180,000 orang, menjadikannya institusi pendidikan tinggi yang penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk rakyat.
“Sebab itu kita lihat di setiap negeri ada kampus UiTM. Di Sabah, contohnya, terdapat dua kampus iaitu satu di Kota Kinabalu dan satu lagi di Tawau. Ini semua dibina sebagai ruang dan peluang terbaik untuk anak-anak negeri Sabah melanjutkan pengajian,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan, Dr. Zambry turut meluluskan permohonan dua buah bas bagi kegunaan warga UiTM Cawangan Sabah, bagi memudahkan urusan pengangkutan pelajar dan staf.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed serta warga UITM cawangan Sabah.