Kota Kinabalu : Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) mahu menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bagi melaksanakan Projek Inisiatif Ekopelancongan Kelip-Kelip
Inisiatif itu merupakan satu projek pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan di Kampung Darau, di sini.
Secara asasnya, kelab ini sedang melaksanakan projek yang menggabungkan pemulihan hutan bakau dengan pemeliharaan habitat kelip-kelip serta penglibatan komuniti, dengan matlamat untuk mewujudkan destinasi ekopelancongan mampan yang memberi manfaat kepada alam semula jadi dan juga masyarakat setempat di kampung tersebut.
RCKK Pearl yang diketuai Presidennya, Chendramata Sinteh ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew telah membentangkan cadangan kerjasama kelab berkenaan.
Hadir sama Bekas Presiden Rosie Chong Fung Fung, Presiden-Elekt Datin Jeanette Tambakau, Bekas Presiden Datuk Aminah Ambrose dan Naib Presiden Adelina Adna.
Chendramata menyeru pihak kementerian untuk mempertimbangkan penyertaan KePKAS sebagai rakan utama dengan memberikan sokongan dana kepada projek mereka yang berimpak tinggi itu.
“Sokongan pihak kementerian akan memperhebatkan lagi impak projek ini dan membantu kami mencapai objektif dengan lebih berkesan,” katanya.
Christina akan menjadi tetamu kehormat semasa majlis pelancaran rasmi dan tinjauan Tapak Pemulihan Kelip-Kelip serta Penanaman Pokok Bakau di Kampung Darau pada 5 September depan.
Beliau sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pelancongan lestari dan pemuliharaan alam sekitar.
Program pelancaran itu akan merangkumi aktiviti penanaman pokok bakau, sesi pendidikan alam sekitar, lawatan bot berpandu menyusuri Sungai Darau, serta pameran usaha pemuliharaan yang diketuai oleh komuniti.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Josie Lai.