HomeUtamaLelaki jadi ‘keldai akaun’ dipenjara 4 tahun

Lelaki jadi ‘keldai akaun’ dipenjara 4 tahun

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah menjadi ‘keldai akaun’ dalam satu pelaburan, yang melibatkan transaksi wang berjumlah RM111,668.

Wilson Anak Penchen, 40, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan, kelmarin.

Mahkamah, ketika menjatuhkan hukuman, antara lain menyatakan bahawa ia mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kes ini yang telah menyebabkan kerugian besar kepada pengadu. Mahkamah turut menekankan kepentingan menyampaikan mesej yang jelas kepada orang awam, khususnya dalam kes yang melibatkan akaun keldai (mule account).

Mengikut kertas pertuduhan, Wilson didapati tanpa maksud yang sah terlibat secara langsung dalam transaksi berjumlah RM111,668 dengan menggunakan akaun banknya antara 25 Disember 2024 hingga 7 Januari tahun ini di sebuah taska dalam daerah Penampang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM150,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Januari tahun lalu, pengadu telah mengikuti pelaburan yang ditawarkan melalui iklan Facebook.
Pengadu telah menekan pautan yang berada di iklan tersebut dan telah disambungkan ke aplikasi Whatsapp untuk berhubung dengan seorang ejen.

Pengadu telah menyertai syarikat tersebut dan telah membuat sebanyak 53 transaksi untuk meningkatkan modal perniagaan sehingga mencecah nilai RM2,173,814.50.

Salah satu transaksi pembayaran telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh berjumlah RM111,668.
Pengadu merasa tertipu apabila beliau tidak mendapat keuntungan dan ejen tersebut meminta pengadu untuk terus melakukan pembayaran.

Pengadu telah membuat laporan polis dan siasatan mendapati tertuduh adalah salah satu pemilik akaun yang menerima bayaran daripada pengadu.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan dan memohon agar hukuman penjara berlangsung serentak dengan hukuman yang sedang dijalaninya sekarang. Tertuduh juga meminta agar dia di perintahkan menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo, Kuching.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Bryan Francis, memohon agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta individu lain yang berpotensi melakukan jenayah yang sama. Beliau meminta agar mahkamah tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah komersial.

Bryan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh kini sedang menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo, Kuching, di bawah Seksyen 424B iaitu membenarkan akaunnya digunakan oleh orang lain.

Menurutnya, tertuduh sebelum ini telah dikenakan denda sebanyak RM11,000 atau 15 bulan penjara. Oleh kerana gagal membayar denda tersebut, dia dipenjarakan.

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo, Kuching bermula dari tarikh sabitan.

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular