By J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencari pelanggan bagi tujuan persundalan.
Tertuduh, Thi Hong Dang, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Vietnam di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Thi melakukan kesalahan itu pada 19 Jun lalu kira-kira jam 10 malam di sebuah pusat refleksologi di Menara MAA, Lorong Api-Api.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan di premis tersebut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan.
Ketika serbuan, tertuduh didapati berada dalam keadaan bogel bersama seorang pelanggan lelaki. Pelanggan terbabit memaklumkan bahawa dia telah menerima perkhidmatan seks daripada tertuduh dengan bayaran RM350 yang dibuat di kaunter hadapan.
Turut ditemui di dalam bilik tersebut di atas meja adalah kondom yang telah digunakan.
Semasa rayuan, Thi yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang paling rendah. Tertuduh juga memaklumkan bahawa dia sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, serta mahu menghubungi keluarganya bagi mendapatkan bantuan membayar denda yang akan dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memohon hukuman setimpal dan agar tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen kerana visanya telah tamat tempoh walaupun pasport masih sah.
Tertuduh diperintahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah menjalani hukuman penjara.