oleh Wan Azrain
KOTA KINABALU, — Sabah terus menunjukkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan, mencatatkan peningkatan meskipun berdepan cabaran ekonomi di peringkat negeri, negara, dan global.
Menurut Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, jumlah dagangan Sabah meningkat 2.7%, dari RM105 bilion pada 2023 kepada RM107.8 bilion pada 2024.

Peningkatan ini berlaku walaupun Sabah hanya mencatatkan pertumbuhan ekonomi perlahan sebanyak 1.1% pada tahun 2024, menjadikan tahun tersebut sebagai tahun ketiga berturut-turut jumlah dagangan negeri itu melepasi paras RM100 bilion, selepas RM118.1 bilion (2022) dan RM105 bilion (2023).
Sebahagian besar perdagangan Sabah masih tertumpu dengan Semenanjung Malaysia (46.8%), sementara rakan dagang utama antarabangsa termasuk China (11.1%), Thailand (5.3%), Republik Korea (3.7%) dan Jepun (3.6%). Negara-negara ASEAN pula secara keseluruhan merangkumi 19% daripada eksport Sabah.
Namun begitu, dalam suasana global yang mencabar, jumlah eksport Sabah mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.3%, dari RM62.8 bilion (2023) kepada RM61.3 bilion (2024). Penurunan ini didorong oleh kemerosotan 7.2% eksport ke Semenanjung Malaysia, walaupun eksport antarabangsa Sabah masih mencatatkan kenaikan kecil 0.9%.

Sektor perlombongan terus menjadi penyumbang terbesar eksport negeri (44.5% atau RM27.3 bilion), meskipun mengalami penyusutan daripada RM31.5 bilion (2023), berpunca daripada penurunan eksport petroleum mentah, kondensat, minyak petroleum lain, serta gas asli cecair. Laporan DOSM turut mencatatkan sektor perlombongan dan pengkuarian Sabah menyusut 5% pada 2024.
Sebaliknya, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan eksport yang menggalakkan iaitu sebanyak 8.9%, dari RM20.1 bilion (2023) kepada RM21.9 bilion (2024), yang merangkumi 35.7% daripada jumlah eksport Sabah. Ini dianggap prestasi positif meskipun sektor pertanian Sabah secara keseluruhan menyusut 3.4% pada 2024.
Tiga eksport utama Sabah kekal dominan, iaitu petroleum mentah (RM21.3 bilion, 34.7%), minyak kelapa sawit (RM17.3 bilion, 28.3%) dan gas asli cecair (RM4.6 bilion, 7.4%), yang bersama-sama merangkumi 70.4% daripada keseluruhan eksport negeri.
Pada masa sama, jumlah import Sabah mencatatkan kenaikan 10.2%, dari RM42.2 bilion (2023) kepada RM46.4 bilion (2024). Majoriti import datang dari Semenanjung Malaysia (RM29.9 bilion, 64.4%) dan China (RM4.3 bilion, 9.3%). Import dari negara ASEAN pula meningkat 15.3% berbanding tahun sebelumnya, kepada RM5.1 bilion (11% daripada jumlah import).
Import Sabah banyak didorong oleh sektor pembuatan, dengan barangan pembuatan merangkumi 90.8% (RM42.1 bilion) daripada keseluruhan import. Antara produk utama ialah petroleum bertapis, oleokimia berasaskan sawit, kapal, bot, struktur terapung, serta baja yang dikilangkan. Import sektor pertanian pula berjumlah RM3.3 bilion (7.1%) dan sektor perlombongan RM984 juta (1.9%).

Menariknya, import beras Sabah terus mencatatkan peningkatan dalam tempoh empat tahun (2021–2024), dari segi kuantiti naik 3.5% (261,672 tan kepada 270,870 tan), manakala dari segi nilai melonjak 47% (RM534.35 juta kepada RM785.90 juta).
Peningkatan besar ini berkait rapat dengan kadar sara diri beras Sabah yang hanya 22%, jauh merosot berbanding 51% pada 1980-an. Dalam tempoh 2011–2021, kawasan penanaman padi di Sabah berkurang 15.6% (dari 45,275 hektar kepada 38,205 hektar), dengan hasil padi juga menurun 15.5% (dari 83,313 tan kepada 70,407 tan).
Bagi mengatasi isu ini, Kerajaan Sabah telah menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), yang mula mengambil alih peranan pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian Negeri pada 2025, dengan matlamat meningkatkan kadar sara diri beras kepada 60% menjelang 2030.